Minyak lori sampah KDEBWM kini dipantau

LocalBusiness & Finance
30 Sep 2026 • 3:36 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Minyak lori sampah KDEBWM kini dipantau

SHAH ALAM – KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) kini memantau perbelanjaan diesel hampir RM60,000 sehari membabitkan 500 lori kontraktornya bagi membendung risiko ketirisan.

Langkah itu dibuat menerusi penggunaan kad pintar Caltex StarCard yang membolehkan setiap pengisian diesel direkod dan dipantau berdasarkan lokasi, masa serta jumlah bahan api yang diisi.

Pengarah Urusannya, Datuk Ramli Mohd. Tahir berkata, kaedah berkenaan penting kerana penggunaan wang tunai sebelum ini mempunyai risiko berlaku penyalahgunaan atau ketirisan.

“Melalui kad ini, kita boleh buat analisis sama ada lori itu benar-benar digunakan untuk kawasan seliaan atau digunakan untuk perkara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani Perjanjian Kerjasama Strategik KDEB Waste Management yang diwakili beliau bersama Pengerusi Caltex Malaysia, Leong Jee Wong di sini, hari ini.

Ramli berkata, sebuah lori KDEBWM secara purata bergerak antara 80 hingga 100 kilometer (km) sehari bagi menjalankan operasi kutipan sampah di kawasan perumahan, kedai dan premis komersial sebelum dihantar ke tapak pelupusan.

Menurutnya, kira-kira 500 lori boleh menggunakan sehingga 10,000 liter diesel sehari dengan purata harga RM5.43 seliter, sekali gus menjadikan perbelanjaan bahan api hampir RM60,000 sehari.

“Pengurusan diesel ini penting bagi memastikan kelangsungan operasi semua lori KDEBWM.

“Kalau dahulu kita beri wang tunai kepada pemandu, mungkin ada keadaan minyak yang sepatutnya diisi penuh tetapi tidak diisi penuh hingga boleh menyebabkan kita mengalami kerugian dan berlaku ketirisan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ramli berkata, sebanyak 452 subkontraktor KDEBWM menerima kad pengisian minyak itu bagi memudahkan urusan pengisian diesel di rangkaian 92 stesen Caltex di seluruh Selangor.

“KDEBWM mempunyai kira-kira 1,300 lori dan pihaknya turut membuka ruang kepada penyedia minyak lain untuk bekerjasama selepas melalui proses penilaian.

“Kewujudan lebih banyak pilihan pembekal penting bagi memastikan KDEBWM mendapat perkhidmatan baik selain memudahkan kontraktor mendapatkan bahan api ketika menjalankan operasi di seluruh Selangor,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Minyak lori sampah KDEBWM kini dipantau appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved