KETEGANGAN geopolitik di Asia Barat kembali meletakkan pasaran minyak dunia dalam keadaan tidak menentu. Konflik melibatkan Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran masih belum menunjukkan tanda-tanda penyelesaian yang benar-benar meyakinkan. Lebih membimbangkan, konflik tersebut turut meningkatkan risiko gangguan terhadap laluan perdagangan tenaga dunia, khususnya Selat Hormuz yang merupakan antara laluan minyak terpenting dunia. Tidak hairanlah harga minyak mentah Brent kembali melepasi AS$100 (RM407) setong.
Bagi Malaysia, kenaikan harga minyak menghasilkan dua kesan yang bertentangan. Sebagai negara pengeluar petroleum, harga minyak yang tinggi boleh meningkatkan hasil kerajaan. Kementerian Kewangan menganggarkan setiap kenaikan AS$1 (RM4.07) setong harga minyak mentah boleh meningkatkan hasil berkaitan petroleum Kerajaan Persekutuan sekitar RM300 juta, tidak termasuk dividen PETRONAS.
Namun, kita tidak boleh melihat hanya sisi yang baik sahaja. Harga minyak yang tinggi turut meningkatkan kos subsidi bahan api. Kerajaan sebelum ini menganggarkan sekiranya harga minyak berada sekitar AS$90 (RM366) setong, subsidi RON95 dan diesel boleh mencecah sekitar RM3.5 bilion sebulan. Maka, persoalan sebenarnya bukan sekadar berapa banyak tambahan hasil yang diperoleh kerajaan apabila harga minyak meningkat, tetapi berapa banyak daripada tambahan hasil tersebut akhirnya terpaksa digunakan semula untuk membiayai subsidi.
Ini penting kerana kedudukan fiskal kerajaan masih memerlukan pengukuhan. Pada separuh pertama 2026, defisit fiskal berada sekitar RM44.9 bilion atau 4.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Sebenarnya, kita pernah menonton “siaran” ini berkali-kali. Apabila harga minyak meningkat, hasil petroleum bertambah tetapi subsidi turut meningkat. Apabila harga minyak turun, hasil petroleum pula berkurangan.
Sampai bila kita mahu mengulangi episod yang sama? Di sinilah kita perlu kembali kepada permasalahan ekonomi yang paling asas – sumber adalah terhad, sedangkan kehendak manusia tidak terbatas. Setiap ringgit yang dibelanjakan kerajaan mempunyai kos lepas. Wang yang digunakan untuk menampung subsidi tidak boleh digunakan pada masa yang sama untuk pendidikan, kesihatan, pengangkutan awam, infrastruktur, keselamatan atau pembangunan kemahiran rakyat.
Ini bukan bermakna subsidi perlu dihapuskan secara membuta tuli. Golongan yang benar-benar memerlukan mesti terus dilindungi. Tetapi terdapat perbezaan antara melindungi rakyat dengan mensubsidi harga kepada semua tanpa mengambil kira kemampuan mereka. Malaysia memerlukan kerangka yang lebih dinamik. Bantuan perlu semakin bersasar, sementara pengangkutan awam, kecekapan tenaga dan tenaga boleh baharu dipertingkatkan bagi menyediakan alternatif kepada rakyat.
Matlamat akhirnya bukan sekadar mengurangkan subsidi, tetapi mengurangkan kerentanan ekonomi Malaysia terhadap turun naik harga minyak dunia. Perang ini mungkin berakhir dan harga minyak mungkin kembali turun. Tetapi kejutan geopolitik akan sentiasa berlaku. Justeru, persoalannya ialah: adakah kita mahu menunggu krisis seterusnya untuk mengulangi penyelesaian yang sama, atau bersedia membina ekonomi yang lebih berdaya tahan?
Perubahan memerlukan keberanian pembuat dasar dan perubahan pemikiran rakyat. Dalam ekonomi, kita tidak boleh mengelakkan pilihan. Yang penting ialah memastikan sumber negara yang terhad digunakan untuk menghasilkan manfaat terbesar kepada rakyat dan generasi akan datang.
*Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid ialah Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad.






