MISC bekerjasama dengan Pengerang LNG Two dalam projek unit penyimpanan terapung
diyana
31/10/2023 - 15:11
KUALA LUMPUR 31 Okt - MISC Berhad telah memeterai perjanjian utama (HOA) terikat dengan anak syarikat Petronas Gas Berhad (PGB), Pengerang LNG (Two) Sdn. Bhd. (PLNG2) untuk projek unit penyimpanan terapung (FSU) bagi gas asli cecair (LNG).
Menurut satu kenyataan media hari ini, MISC berkata perjanjian tersebut melibatkan kerja pembekalan, operasi dan penyelenggaraan (FSU), di mana LNG akan ditempatkan di Terminal Pengegasan Semula LNG Petronas di Pengerang di Johor.
“Projek ini adalah kesinambungan daripada kerjasama antara MISC dan PGB pada 2012 yang membawa kejayaan penempatan FSU Tenaga Satu dan FSU Tenaga Empat di Terminal Pengegasan Semula LNG di Sungai Udang, Melaka,” katanya.
Teras kerjasama terbaharu ini ialah penukaran kapal pengangkut LNG MISC, Puteri Delima Satu, kepada FSU khusus untuk projek ini, yang direka bentuk untuk menerima kuasa pantai untuk mengurangkan pelepasan karbon dan meningkatkan kecekapan operasi.
FSU tersebut disasarkan untuk beroperasi secara komersial menjelang suku kedua 2025 di bawah tempoh kontrak 20 tahun, dengan peruntukan lanjutan berdasarkan persetujuan bersama.
Naib Presiden Aset & Rumusan Gas (GAS) MISC, Hazrin Hasan, berkata kerjasama terbabit merangkumi intipati kemajuan dan komitmen bersama antara kedua-dua pihak.
“Dengan menggunakan semula aset sedia ada kami dan memanfaatkan pengalaman kami mengendalikan FSU Tenaga Satu dan FSU Tenaga Empat, kami bukan sahaja mencipta peluang menjana hasil tetapi juga memacu pulangan lebih baik kepada pemegang saham,” katanya. - DagangNews.com



