MISC berpotensi raih tambahan pendapatan sehingga RM200 juta melalui kontrak LNG baharu - MBSB Research

LocalBusiness & Finance
13 May 2026 • 9:32 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MISC berpotensi raih tambahan pendapatan sehingga RM200 juta melalui kontrak LNG baharu - MBSB Research Image from: MISC berpotensi raih tambahan pendapatan sehingga RM200 juta melalui kontrak LNG baharu - MBSB Research hamden13/05/2026 - 09:32 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 13 Mei - MISC Berhad (MISC) dijangka meraih tambahan pendapatan tahunan antara RM180 juta hingga RM200 juta bermula 2029 menerusi kontrak sewaan jangka panjang lima kapal pengangkut gas asli cecair (LNG) baharu, menurut MBSB Research

 

Firma penyelidikan itu berkata, prospek itu disokong oleh andaian margin operasi segmen Aset Gas sebanyak 25%, selain perjanjian sewaan selama 20 tahun yang dilihat mampu memberikan kestabilan pendapatan kepada kumpulan dalam tempoh jangka panjang.

 

Menurutnya, kontrak jangka panjang itu turut melindungi MISC daripada risiko ketidaktentuan kadar sewaan harian global yang lazimnya dipengaruhi faktor geopolitik dan turun naik pasaran tenaga antarabangsa.

 

"Kadar sewaan jangka panjang bagi kapal LNG mesra alam dianggarkan sekitar AS$85,000 hingga AS$95,000 sehari, bersamaan kira-kira RM330,000 hingga RM370,000 sehari.

 

"Anggaran tersebut membolehkan setiap kapal menyumbang sekitar RM150 juta setahun kepada hasil pendapatan kumpulan, sekali gus mengukuhkan prospek segmen gas MISC dalam jangka panjang," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Menurut MBSB Research, setiap kapal LNG generasi baharu itu dianggarkan bernilai antara RM1.18 bilion hingga RM1.23 bilion seunit, menjadikan keseluruhan nilai pelaburan projek berkenaan mencecah lebih RM6 bilion.

 

Bagi membiayai projek tersebut, MISC dijangka menggunakan struktur pembiayaan 80:20 hutang kepada ekuiti yang merupakan amalan lazim kumpulan bagi projek pembinaan kapal baharu.

 

Struktur Pembiayaan

Berdasarkan struktur itu, syarikat dianggarkan akan mengambil kira-kira RM4.5 bilion hutang baharu, manakala baki kos akan dibiayai menerusi rizab tunai sedia ada.

 

Firma itu bagaimanapun mengekalkan unjuran pendapatan semasa MISC memandangkan projek berkenaan hanya dijangka mula menyumbang kepada prestasi kewangan kumpulan bermula 2029.

 

Ini juga mengambil kira keputusan kewangan suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY26) yang bakal diumumkan dalam masa terdekat.

 

Sehubungan itu, firma penyelidikan terbabit mengekalkan saranan “NEUTRAL” terhadap MISC Berhad dengan harga sasaran RM8.13 sesaham sementara menunggu maklumat lanjut berhubung pelaksanaan projek tersebut.

 

Dalam perkembangan sama, langkah memperluaskan armada LNG itu dilihat sebagai strategi penting dalam memperkukuh kedudukan PETRONAS dalam rantaian bekalan LNG global.

 

Pengembangan armada tersebut dijangka membantu PETRONAS menjamin kapasiti penghantaran jangka panjang bagi memenuhi kontrak bekalan LNG sedia ada, di samping berdepan peningkatan permintaan global dan tekanan peraturan alam sekitar yang semakin ketat.

 

Selain itu, majoriti kapal LNG lama dijangka berdepan persaraan lebih awal susulan pelaksanaan standard intensiti karbon lebih ketat oleh International Maritime Organization (IMO).

 

Justeru, pembangunan armada hijau yang dijangka siap sebelum 2030 akan memastikan PETRONAS kekal kompetitif dalam pasaran LNG antarabangsa selain memperkukuh agenda peralihan tenaga negara.

 

Langkah itu juga dilihat selari dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) untuk menjadikan Malaysia sebagai hab teknologi peralihan tenaga serta pengurusan maritim berteknologi tinggi di rantau ini. - DagangNews.com

Terkini standard