hamden06/11/2026 - 18:18 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Nov - MISC Bhd (MISC) bersama konsortium penawar mengemukakan cadangan pengambilalihan baki saham biasa Yinson Holdings Bhd (YHB) pada harga RM2.50 sesaham secara tunai, dalam langkah untuk menswastakan dan menyahsenarai syarikat itu daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Cadangan menerusi Skim Pengaturan Ahli mengikut Seksyen 366 Akta Syarikat 2016 itu membabitkan jumlah pertimbangan keseluruhan dianggarkan kira-kira RM4.03 bilion, dengan bahagian penyertaan MISC berjumlah RM3.03 bilion.
Pengambilalihan itu akan dilaksanakan menerusi MY Offshore Holdings Sdn Bhd (MYOHSB), sebuah syarikat pelaburan khas yang kini merupakan anak syarikat milik penuh Yinson Legacy Sdn Bhd (YLSB).
Konsortium penawar turut merangkumi anak syarikat tidak langsung milik penuh MISC, MISC OBU Holdings (L) Pte Ltd (MOHPL), YLSB serta Kwasa Layar Sdn Bhd, iaitu anak syarikat milik penuh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Selepas penyempurnaan skim dan penstrukturan semula berkaitan, YHB akan dimiliki sepenuhnya oleh MYOHSB, dengan pegangan efektif masing-masing sebanyak 41.464% oleh MISC menerusi MOHPL, 41.464% oleh YLSB dan 17.072% oleh Kwasa Layar.
Harga tawaran RM2.50 sesaham itu mewakili premium 16.28% berbanding harga penutup YHB sebanyak RM2.15 pada 28 Ogos 2026, iaitu hari dagangan terakhir sebelum pengumuman awal cadangan berkenaan.
Ia turut mencerminkan premium 10.13% berbanding harga penutup RM2.27 pada 5 November 2026, iaitu hari dagangan terakhir sebelum surat cadangan dikemukakan.
Berdasarkan harga tawaran itu, nilai perusahaan (EV) YHB berbanding EBITDA adalah pada nisbah 8.72 kali, manakala nisbah harga kepada nilai buku (PBR) dianggarkan sebanyak 1.36 kali.
Dari sudut strategik, cadangan pengambilalihan itu memberi peluang kepada Kumpulan MISC untuk memperkukuh kedudukannya dalam sektor prasarana tenaga luar pesisir global menerusi penyertaan dalam pemilikan portfolio kapal Pengeluaran, Penyimpanan dan Pemindahan Terapung (FPSO) serta Penyimpanan dan Pemindahan Terapung (FSO) milik YHB.
YHB mempunyai nilai perolehan terikat (contracted revenue backlog) kira-kira AS$19.3 bilion yang memberikan keterlihatan perolehan bagi tempoh beberapa tahun akan datang.
Sementara itu, Lembaga Pengarah YHB perlu memaklumkan keputusannya sama ada mengesyorkan skim berkenaan kepada pemegang saham selewat-lewatnya pada jam 5 petang, 4 Disember 2026.
Sekiranya memperoleh kelulusan pemegang saham, mahkamah dan pihak kawal selia berkaitan, transaksi pengambilalihan serta penyahsenaraian YHB itu dijangka diselesaikan sepenuhnya pada separuh kedua 2027. - DagangNews.com


