Penswastaan Yinson tunggu 30 Nov bagi KWSP, MISC buat keputusan

LocalBusiness & Finance
20 Oct 2026 • 5:37 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Penswastaan Yinson tunggu 30 Nov bagi KWSP, MISC buat keputusan Image from: Penswastaan Yinson tunggu 30 Nov bagi KWSP, MISC buat keputusan hamden20/10/2026 - 17:37 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Okt - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) meluluskan lanjutan masa sehingga 30 November 2026 kepada MISC Bhd, Yinson Legacy Sdn Bhd dan Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mengumumkan niat muktamad berhubung cadangan penswastaan Yinson Holdings Berhad.

 

MISC dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kelulusan itu diberikan menerusi surat SC bertarikh 19 Oktober 2026 bagi membolehkan ketiga-tiga pihak meneruskan proses penilaian dan perbincangan mengenai cadangan berkenaan.

 

Cadangan penswastaan itu akan dilaksanakan menerusi skim pengaturan di bawah Seksyen 366 Akta Syarikat 2016, tertakluk kepada pemuktamadan penilaian dan perbincangan antara pihak terlibat.

 

Selain itu, cadangan berkenaan turut tertakluk kepada pelaksanaan perjanjian muktamad, penentuan harga tawaran akhir serta kelulusan dan syarat lain yang diperlukan.

 

MISC berkata, setakat ini tiada perkembangan material lanjut berhubung cadangan skim tersebut selain kelulusan lanjutan masa berkenaan.

 

“Tiada jaminan bahawa perbincangan itu akan membawa kepada atau menghasilkan pelaksanaan Cadangan Skim,” menurut kenyataan syarikat itu.

 

MISC turut menjelaskan bahawa pengumuman berkenaan tidak membentuk niat muktamad untuk menswastakan syarikat sasaran dan tiada kepastian bahawa sebarang tawaran atau urus niaga akan dilaksanakan.

 

Sehubungan itu, pemegang saham dan pelabur dinasihatkan supaya berhati-hati ketika berurus niaga dalam sekuriti MISC dan syarikat sasaran.

 

MISC berkata, pihaknya akan membuat pengumuman sewajarnya mengenai sebarang perkembangan material berkaitan cadangan berkenaan, selaras dengan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved