Misi Artemis III Tahun Depan Akan Menguji Kenderaan Pendaratan Bulan Starship dan Blue Moon

WorldSpace
26 Oct 2026 • 5:49 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Misi Artemis III akan dilancarkan tahun 2027 untuk menguji kedua-dua kenderaan pendaratan ke permukaan bukan SpaceX Starship dan Blue Origin Blue Moon. Dalam misi ini, NASA akan menguji kemampuan kapal angkasa Orion untuk berlabuh dengan kenderaan pendaratan semasa di orbit sebelum menguji beberapa sistem.

Image from: Misi Artemis III Tahun Depan Akan Menguji Kenderaan Pendaratan Bulan Starship dan Blue Moon

Misi akan dimulakan dengan pelancaran Blue Moon menggunakan roket New Glenn. Sejurus selepas itu Orion akan dilancarkan menggunakan roket SLS. Selepas tiga hari, Orion akan cuba berlabuh dengan Blue Moon dengan ujian sistem akan dilakukan selama dua hari sebelum kedua-dua kenderaan dipisahkan semula.

Kemudian SpaceX Starship pula akan dilancarkan ke orbit untuk gilirannya berlabuh dengan Orion. Ujian kali ini hanya mengambil masa dua jam sahaja kerana kawasan habitat krew Starship belum lagi siap. Selepas itu Orion kembali berpisah dengan krew akan mengambil masa beberapa hari menguji sistem Orion sebelum kembali semula ke bumi.

Image from: Misi Artemis III Tahun Depan Akan Menguji Kenderaan Pendaratan Bulan Starship dan Blue Moon

Artemis III akan menjadi misi NASA paling kompleks setakat ini kerana memerlukan tiga pelancaran roket dalam masa yang pendek dan melakukan dua ujian melabuhkan kapal angkasa. Keseluruhan misi dijangka mengambil masa sehingga 14 hari tetapi mungkin dilanjutkan ke 17 hari sekiranya perlu.

NASA masih merancang menghantar manusia kembali ke permukaan bulan pada tahun 2028 menerusi misi Artemis IV. Ia akan menjadi kali pertama sejak 1971 manusia menjejakkan kaki di bulan. Misi Artemis telah mengalami beberapa penangguhan kerana Starship gagal berfungsi seperti diharapkan. Akibatnya NASA memilih Blue Origin sebagai sistem sandaran sebagai persiapan sekiranya SpaceX sekali lagi gagal mengikuti susur masa misi yang telah ditetapkan.

Sumber – NASA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved