Rapid Penang pandu uji dua bas elektrik esok

LocalCars
5 Oct 2026 • 4:29 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Rapid Penang pandu uji dua bas elektrik esok

GEORGE TOWN – Rapid Penang akan menguji dua model bas elektrik daripada pengeluar berbeza selama dua hari bermula esok bagi menilai kesesuaian kenderaan itu dengan keadaan operasi dan laluan di Pulau Pinang.

Sesi pandu uji pada 6 dan 7 Oktober itu membabitkan bas elektrik Foton berukuran 12 meter dan Golden Dragon berukuran 8.25 meter yang akan diuji secara berasingan di laluan terpilih.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd, Syahrul Azmir Ahmad Zaki berkata, ujian berkenaan penting bagi membolehkan pihaknya mendapatkan data sebenar sebelum bas elektrik diperkenalkan ke laluan sedia ada.

“Ia merupakan penanda aras penting bagi memastikan pasukan operasi mempunyai data dan pengalaman yang mencukupi untuk menilai prestasi, keupayaan serta keperluan pengoperasian bas elektrik dalam keadaan sebenar sebelum ia diperkenalkan ke dalam laluan sedia ada,” katanya.

Menurutnya, penilaian turut meliputi keadaan laluan dan trafik, penggunaan tenaga, prestasi pengecasan selain aspek keselamatan serta keselesaan penumpang.

Katanya, Rapid Penang pada masa sama sedang menyediakan keperluan sokongan bagi pengoperasian bas elektrik termasuk infrastruktur pengecasan, kemudahan penyelenggaraan dan latihan kakitangan.

Syahrul berkata, pengoperasian bas elektrik akan dilaksanakan secara berperingkat selepas sesi pandu uji selesai, dengan tahap kesiapsiagaan operasi akan terus dipertingkatkan.

“Rapid Penang kini berada dalam fasa pertama perolehan sebanyak 75 buah bas elektrik, dengan penerimaan bas dilaksanakan secara berperingkat sehingga Mac 2027,” katanya.

Secara keseluruhan, program penggantian bas di Pulau Pinang melibatkan 240 bas elektrik dan 70 bas diesel baharu yang akan dilaksanakan secara berperingkat. -KOSMO! ONLINE

The post Rapid Penang pandu uji dua bas elektrik esok appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved