Misi dua serampang di Sarawak

19 Sep 2025 • 3:24 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Sabah akan memulakan misi mereka bagi memburu kejayaan dalam dua kejohanan sukan di Sarawak minggu depan bermula dengan Sukan Borneo pada 24-28 September.

Kontinjen negeri yang diwakili oleh 101 atlet bersama 15 pegawai akan menyertai acara renang, olahraga, boling padang, memanah, badminton dan tarik tali dalam temasya serantau yang dihidupkan semula itu.

Satu lagi pasukan yang terdiri daripada 72 ahli termasuk pegawai pasukan akan menyusul selepas itu bagi menyertai acara renang, futsal, olahraga dan boling tenpin di Sukan Orang Pekak Malaysia (Sopma) pada 2-6 Oktober.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ellron Angin dalam ucapan yang disampaikan oleh pembantunya Datuk Fairuz Renddan semasa majlis penyerahan bendera negeri kepada ketua kontinjen Datuk Mansur Asun, yang juga setiausaha tetap kementerian pada Rabu, yakin kedua-dua pasukan mampu mencapai kejayaan dalam kejohanan terbabit.

“Syabas kepada semua atlet yang terpilih membawa cabaran Sabah untuk menyertai kedua-dua temasya ini yang akan berlangsung berturut-turut di Kuching, Sarawak.

“Sukan Borneo yang kali terakhir diadakan di Labuan pada 2013 akan disertai oleh enam kontinjen iaitu Brunei Darussalam, Kalimantan Barat, Kalimantan Timur, Sabah, Labuan dan Sarawak selaku tuan rumah.

“Bagi Sopma pula kita adalah juara bertahan selepas kejayaan cemerlang membawa pulang 17 pingat emas, 15 pingat perak dan 7 pingat gangsa dengan menewaskan 13 negeri bertanding termasuk tuan rumah Kuala Lumpur pada 2023.

“Saya percaya kedua-dua kontinjen kita telah membuat persiapan terbaik untuk sekali lagi membawa pulang kejayaan buat negeri,” katanya.

Beliau turut menyeru pegawai pasukan agar sentiasa mengutamakan faktor keselamatan dan semangat setiakawan di gelanggang pertandingan.

“Ia adalah tanggungjawab bersama kita untuk memastikan semua atlet Sabah sentiasa selesa, selamat dan kebajikan mereka terpelihara pada setiap masa.

“Marilah kita mengamalkan sikap terbuka dengan saling membantu serta menerima nasihat dan panduan supaya apa jua cabaran atau kesukaran yang dihadapi dapat diatasi dalam suasana harmoni,” tegasnya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Lembaga Sukan Sabah Masly Ansilau, Timbalan Setiausaha Tetap Belia dan Sukan Adanan Atin, Pengarah Majlis Sukan Sabah Mohd Asneh Mohd Noor, Pengurus Besar Lembaga Sukan Sabah Terrance Edward Pudin dan Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Sabah Spencer Soo.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved