
SEREMBAN – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Datuk Muhammad Nazri Kassim menyatakan komitmen untuk menunaikan manifesto ditawarkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 sebagai janji kepada rakyat di kawasan berkenaan.
Muhammad Nazri berkata, manifesto bukan sekadar dokumen kempen, sebaliknya menjadi komitmen yang akan dilaksanakan sekiranya terus diberi mandat oleh rakyat.
“Manifesto sangat penting kerana ia adalah tawaran kita kepada rakyat.
“Jika rakyat memilih kita sebagai kerajaan, segala yang terkandung di dalam manifesto ini menjadi janji yang wajib kita laksanakan.
“Sepanjang hampir lapan tahun mentadbir sejak 2018, PH telah membuktikan kesungguhan dan kemampuan dalam mengurus Negeri Sembilan serta melaksanakan pelbagai inisiatif untuk kesejahteraan rakyat,” katanya ketika ditemui pada program menyantuni penduduk di Taman Bukti dan Pasar Ampangan di sini semalam.
Beliau berkata, manifesto PH itu disusun berasaskan pengalaman mentadbir Negeri Sembilan hampir lapan tahun sejak 2018,
“Ini membuktikan kesungguhan serta keupayaan gabungan berkenaan dalam melaksanakan dasar demi kepentingan rakyat jelata.
“Setiap tawaran yang digariskan merupakan janji kepada rakyat dan menjadi tanggungjawab yang perlu ditunaikan apabila diberi kepercayaan untuk membentuk kerajaan nanti,” katanya.
Ujar beliau, tawaran yang dikemukakan itu mencerminkan komitmen, idea serta kesungguhan PH untuk terus bekerja demi meningkatkan taraf hidup rakyat.
“Saya berharap rakyat dapat menerima manifesto ini secara positif kerana ia menggambarkan cara kita berfikir, kesungguhan kita bekerja dan komitmen kita untuk terus membawa kemajuan kepada Negeri Sembilan.
“Saya percaya pasukan PH mempunyai kesungguhan dan kemampuan untuk bersama-sama membangunkan DUN Ampangan menjadi kawasan lebih maju, selesa didiami serta memberi manfaat bukan sahaja kepada penduduk tempatan, malah kepada masyarakat luar,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Nazri berkata, isu peniaga di Pasar Ampangan baharu yang berdepan tekanan apabila kadar sewaan meningkat juga akan diberikan fokus melalui kajian secara menyeluruh.
“Kita akan mengambil inisiatif mengadakan perbincangan dengan MBS (Majlis Bandaraya Seremban) dan pihak syarikat swasta yang menguruskan pasar berkenaan bagi meneliti semula struktur kadar sewaan.
“Kadar sewaan yang dikenakan sepatutnya mengambil kira kos asas pengurusan seperti elektrik, kebersihan dan penyelenggaraan selain dakwaan peniaga jumlah jualan mereka semakin berkurangan,” katanya.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat diterima, terdapat hampir 45 gerai di pasar berkenaan dengan kadar sewaan kira-kira RM380 sebulan.
Tambah Muhammad Nazri, kajian lanjut juga perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca jumlah pengunjung ke Pasar Ampangan baharu berkurangan berbanding pasar lama.
“Saya sudah lama di Pasar Ampangan lama yang hanya setingkat sebelum ini, suasananya meriah dengan pengunjung.
“Sekarang nampak berbeza. Kita perlu kaji sama ada masalahnya kerana promosi kurang, jumlah parkir tidak mencukupi atau aspek keselesaan dan suasana pasar yang kurang kondusif,” ujarnya.
Katanya, program bagi menarik semula orang ramai ke Pasar Ampangan akan diusahakan melalui perbincangan dengan pihak berkaitan.
The post Misi Haji Nazri tunaikan manifesto PH appeared first on Kosmo Digital.






