
“RAMAI orang minat hendak bercuti atau mengembara (travel) tetapi terpaksa batalkan hasrat kerana merasakan ia memerlukan kos yang mahal tetapi hakikatnya dengan cara yang betul dan menguruskan kewangan yang baik, semua orang boleh bercuti tidak kira kerja apa serta gaji berapa.”
Itu ungkap Nur Syahirah Yaakub, seorang wanita, isteri dan ibu yang kini banyak memberi inspirasi kepada orang ramai untuk keluar melihat dunia luar dengan percutian bajet.
Baru-baru ini selepas 15 tahun mengembara, Nur Syahirah, 39, atau lebih dikenali sebagai She berjaya menyelesaikan 50 negara sebelum 40 tahun, bahkan melebihi sasaran apabila berjaya mengembara ke 53 negara.
Melalui perkongsiannya, dia bersama keluarga berjaya mencapai misi 50 negara sebelum dia dan suami, Mohamad Haikel Hilmi berusia 40 tahun.
“Itu yang kami cuba sampaikan dan kongsikan cara bercuti bajet di pelbagai negara bersama anak-anak menerusi media sosial. Saya juga merasakan satu tanggungjawab sosial untuk kongsikan pengalaman dan ilmu sepanjang mengembara untuk pembangunan intelektual masyarakat,” katanya.
Bagi She, setiap orang mempunyai impian dalam hidup, manakala impian dia dan suami adalah mengembara ke 50 negara sebelum umur 40 tahun.
“Kami meletakkan misi 50 negara itu kerana yakin mampu lakukan, kalau 100 negara mungkin agak mustahil. Jadi, sejak di awal perkahwinan saya dan suami mula belajar bercuti dekat-dekat dahulu.
“Kemudian belajar bercuti lebih jauh sedikit demi sedikit sehinggalah kami membuat keputusan untuk melawat dari satu negara ke satu negara lain (country hopping) dalam masa 30 hingga 35 hari dengan melawati lapan buah negara,” cerita ibu dua orang cahaya mata, Emir Harraz berusia 13 dan Vanilla Ariana, enam tahun.

Pengembaraan She bersama keluarga kecilnya dalam menyelesaikan misi 50 negara bukan saja mendapat perhatian masyarakat di Malaysia tetapi turut diiktiraf di luar negara apabila dia terpilih menerima anugerah Favourite Female Creator 2025 di Hiroshima, Jepun. Untuk anugerah tersebut, She perlu bersaing dengan 58 wanita dari 16 buah negara termasuk United Kingdom dan Amerika Syarikat.
BUKAN itu sahaja, She sekeluarga juga mendapat jemputan daripada agensi pelancongan kerajaan dari luar negara seperti Tourism Macau dan Tourism Australia untuk mempromosikan tempat-tempat menarik di sana.
Menurut She, minat mengembara telah tumbuh dalam dirinya sejak di sekolah rendah apabila melihat kawan-kawan berkongsi gambar-gamar percutian keluarga di folio kerja sekolah mereka tetapi pada ketika itu dia tidak mampu untuk bercuti seperti rakan-rakannya.
“Seiring meningkat usia dewasa, keinginan nak bercuti di luar negara makin kuat apabila melihat filem atau drama yang memaparkan tempat-tempat menarik, tetapi sayangnya emak saya tidak izinkan kerana risau.
“Saya merupakan satu-satunya anak perempuan dalam keluarga, maka emak dan ayah agak tegas.
“Jadi, setelah berkahwin pada usia 25 tahun, saya mengajak suami untuk bercuti di luar negara buat pertama kali dan sejak itu kami mula memasang impian mengembara ke 50 negara dengan perancangan yang panjang,” kata anak sulung daripada tiga beradik itu.

Menurut pengurus di sebuah syarikat e-dagang itu, bagi mencapai misi 50 negara bukan perkara yang mudah tetapi berjaya dilaksanakan hasil perancangan rapi dia dan suami.
“Pada 10 tahun pertama perkahwinan, kami melakukan dua hingga tiga kerja untuk menyelesaikan hutang rumah dan kereta sekitar RM1,700 sebulan, alhamdulillah dalam sembilan tahun hutang itu berjaya diselesaikan.
“Oleh itu, duit yang dahulunya untuk bayar dua komitmen itu boleh digunakan untuk bercuti, malah kami juga sehingga kini masih lagi menggunakan kereta yang sama.
“Bajet yang ditetapkan untuk ‘country hopping’ selama 30 hari pula maksimum RM5,000 seorang,” ujarnya yang merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Marin dari Universiti Malaysia Terengganu.
Jelas wanita berasal dari Alor Setar, Kedah ini, antara negara yang dikunjungi ialah Finland, Amerika Syarikat, Sepanyol, Poland, Malta, Greece, Mesir, Uzbekistan, Australia, China, Sweden, Thailand, Jepun dan banyak lagi.
“Dalam 53 negara yang saya pergi, Malta dan Greece menjadi negara kesukaan saya kerana orang di sana sangat baik dan hospitaliti terhadap pelancong juga bagus.
“Bercuti di luar negara bagi saya sangat seronok kerana dapat bawa anak-anak keluar dari zon selesa dan mengembara tengok dunia sekali gus memberi peluang kepada kami untuk melihat kehidupan sebenar.
“Semakin jauh saya mengembara juga, semakin rasa sayang kepada Malaysia dan rasa sangat bertuah dilahirkan di negara ini,” katanya sambil memberitahu, melihat aurora dari luar tingkap biliknya di Finnish Lapland, Finland merupakan kenangan yang menakjubkan kerana bukan mudah untuk melihat fenomena alam itu.

Sementara itu, mengulas mengenai saluran YouTube Leaving The Nest yang diusahakannya, She berkata, dia dan suami membina platform itu pada 2022 sebagai tempat menyimpan memori mereka sekeluarga bercuti tetapi tidak sangka perkongsian tersebut memberi inspirasi ramai orang baik di dalam mahupun di luar negara.
“Ramai orang suka tengok saluran YouTube kami sebab ia menjadi panduan untuk bercuti terutamanya dalam bajet yang rendah dan mereka yang pertama kali mahu ke luar negara.
“Kami kongsikan dengan terperinci dari A sampai Z iaitu dari hari pertama sehinggalah hari terakhir percutian. Jadi, orang boleh ‘copy’ satu per satu atau ubah suai sedikit ikut kemahuan masing-masing.
“Antara maklum balas yang kami terima, ramai dah berani bercuti ke tempat-tempat jauh kerana mereka sudah pandai merancang perjalanan ke luar negara serta urus bajet,” ujarnya yang berpegang kepada prinsip hidup, kita mudahkan urusan orang, Allah permudahkan urusan kita.
Untuk tip mengembara dalam bajet yang rendah, She memberitahu, antara yang boleh dilakukan adalah perlu fleksibel dari segi masa dan destinasi.
“Maksudnya, kena bersedia untuk beli tiket penerbangan ‘odd hours’, macam pukul 2 pagi, bukan hujung minggu dan naik penerbangan tambang rendah serta sanggup naik ke destinasi lain selain Kuala Lumpur (KL).
“Kami tidak ada spesifik destinasi idaman, jadi kami akan beli sahaja tiket murah ke mana-mana destinasi kemudian baru rancang itinerari, dari tempat tersebut nak ‘country hopping’ ke mana?
“Selain itu, perlu juga peka dengan promosi tiket murah yang diumumkan oleh syarikat penerbangan. Contohnya, kami pernah beli tiket KL ke London naik Turkish Airlines hanya RM700,” terang She sambil memberitahu dalam setahun hanya sekali dia dan keluarga ‘country hopping’ iaitu pada hujung tahun cuti persekolahan, sekali gus memberinya masa mengumpul duit.
Sebelum menutup bicara, She memberitahu, selepas ini, dia dan suami menyasarkan misi seterusnya iaitu 80 negara sebelum usia 45 tahun serta menunaikan ibadah haji bersama anak-anak.
The post Misi kembara 50 negara sebelum usia 40 tahun tercapai appeared first on Kosmo Online.
