Misi SAR: SMART belum terima kebenaran kerajaan Nepal

1 Sep 2026 • 5:35 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Misi SAR: SMART belum terima kebenaran kerajaan Nepal

KUALA LUMPUR: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) masih belum menerima kebenaran Kerajaan Nepal untuk mengatur gerak misi mencari dan menyelamat (SAR) bagi membantu negara itu susulan bencana banjir dahsyat serta tanah runtuh pada Rabu lalu.

Komander SMART, Penguasa Kanan Bomba 1 Abdul Manaf Che Isa memaklumkan setakat hari ini, pihaknya belum menerima maklum balas daripada Kerajaan Nepal berhubung perkara itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, SMART kekal bersedia sepenuhnya untuk digerakkan pada bila-bila masa jika menerima pengaktifan misi berkenaan.

"Kelengkapan aset operasi dan personel (anggota) bersiap sedia untuk sebarang pengaktifan," katanya.

Selain membabitkan SMART, Abdul Manaf berkata, misi bantuan itu diselaraskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Luar (KLN).

Ahad lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan memutuskan untuk menghantar SMART ke Nepal bagi membantu operasi SAR susulan bencana banjir yang melanda negara itu.

Perdana Menteri dipetik berkata, SMART turut diamanahkan untuk mengesan dan membawa pulang rakyat Malaysia yang terjejas, selain membantu Kedutaan Besar Malaysia di Nepal menyelaras bantuan serta memastikan keselamatan dan kebajikan mereka.

Sebelum ini, KLN memaklumkan bahawa 55 rakyat Malaysia dilaporkan masih gagal dihubungi susulan banjir kilat dahsyat dan tanah runtuh di daerah Rasuwa, Nepal, pada 26 Ogos lalu.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved