
PUTRAJAYA: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) masih menunggu maklum balas kerajaan Nepal sebelum digerakkan ke negara itu bagi membantu operasi mencari dan menyelamat susulan bencana.
Penolong Kanan Penguasa Bomba 1 (PgKB I), Abdul Manaf Che Isa berkata, pasukan tersebut sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk melaksanakan misi berkenaan.
Katanya, pihaknya akan membuat pelarasan bersama Kementerian Luar Negeri (KLN), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berhubung pergerakan pasukan itu.
“Pada dasarnya pasukan telah pun bersiap sedia sepenuhnya dan kami akan membuat pelarasan bersama KLN, MKN dan NADMA bagi tujuan pergerakan pasukan.
“Sehingga pagi ini, kita masih menunggu maklum balas daripada kerajaan Nepal bagi tujuan kesediaan menerima pasukan SMART daripada Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Menurutnya, pasukan berkenaan akan digerakkan sebaik mendapat pengesahan daripada kerajaan Nepal berhubung keperluan dan penerimaan bantuan Malaysia.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Malaysia bersedia menghantar pasukan SMART ke Nepal susulan bencana yang berlaku di negara berkenaan.
Anwar turut memaklumkan Malaysia akan menyalurkan sumbangan sebanyak AS$1 juta kepada Nepal bagi membantu mangsa terjejas serta menyokong usaha pemulihan pascabencana.
Semalam, Wisma Putra memaklumkan jumlah rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi kekal 36 orang di China dan 55 orang di Nepal susulan kejadian banjir kilat dan tanah runtuh di Daerah Rasuwa, Nepal pada 26 Ogos lalu.
Terdahulu, Agensi Anadolu melaporkan angka korban akibat banjir kilat dan tanah runtuh yang melanda Nepal serta wilayah Tibet di China meningkat kepada 804 orang, manakala hampir 3,300 lagi dilaporkan masih hilang. – UTUSAN
The post SMART sedia digerak ke Nepal, tunggu maklum balas appeared first on Utusan Malaysia.






