Misteri Cecair Busuk Bongkar Penemuan Mayat Dua Beranak

7 Oct 2025 • 10:31 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Misteri Cecair Busuk Bongkar Penemuan Mayat Dua Beranak

Misteri cecair berbau busuk yang menitis dari siling membawa kepada penemuan mayat dua beranak, milik bapa dan anak perempuannya di dalam sebuah unit kediaman flat di Sengkang, Singapura.

Menurut laporan Shin Min Daily News, mayat lelaki berkenaan ditemui di bilik tidur dalam keadaan sudah reput hingga tinggal rangka. Manakala mayat anak perempuannya ditemui berhampiran pintu utama ruang tamu.

Difahamkan, kejadian disedari oleh seorang wanita berusia 70 tahun yang tinggal di unit flat bawah berkenaan apabila mendapati terdapat bau busuk menyengat dan cecair berwarna merah yang menitis di ruang tamunya.

Susulan curiga dengan keadaan itu, anak kepada wanita itu mengambil keputusan untuk menghubungi pihak berkuasa.

“Cecair itu melekit dan berbau sangat busuk. Saya cuba bersihkan guna tisu, tetapi baunya tetap kuat.

“Selepas berfikir semula, saya rasa ada sesuatu yang tidak kena sebelum bertindak untuk menghubungi polis,” katanya

Hasil pemeriksaan pihak polis mengesahkann terdapat penemuan mayat dua beranak itu.

Menurut jiran, kedua-dua mereka tinggal bersama selepas kematian isterinya. Bagaimanapun , keduanya dilaporkan tidak kelihatan selama hampir sebulan sebelum ditemui mati.

Siasatan lanjut kini dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.