MITI Day Selangor 2023 tawar hampir 22,000 peluang kerja, latihan industri pada 5 Ogos ini

LocalBusiness & Finance
4 Aug 2023 • 5:03 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MITI Day Selangor 2023 tawar hampir 22,000 peluang kerja, latihan industri pada 5 Ogos ini

zulfadli

04/08/2023 - 17:03

KUALA LUMPUR 4 Ogos - MITI Day 2023 bertemakan Perkasa Industri, Maju Ekonomi anjuran Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri menawarkan hampir 22,000 peluang pekerjaan dan latihan industri kepada belia dan pencari kerja.

MITI memaklumkan, sebanyak 20 syarikat bakal menawarkan hampir 2,000 peluang pekerjaan di sektor pengurusan, elektrik dan elektronik, peranti perubatan, automotif, aeroangkasa dan farmaseutikal.

Selain itu, di bawah Program Academy in Industry (AiI) sebanyak 20,000 peluang latihan industri produktiviti tinggi ditawarkan kepada belia Selangor oleh 11 syarikat semikonduktor, automotif, aerospace dan sains hayat.

"Selain peluang pekerjaan dan latihan internship, pelbagai syarikat juga menawarkan Industry Career Talk. Antaranya, Bual Kerjaya: Maju Kerjaya Industri Perkasa dan First Impressions Matter: The Art of Grooming for interviews and Beyond," katanya dalam kenyataan media di sini.

Menurut kenyataan itu, MITI Day Selangor 2023 yang diadakan di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam dengan sokongan 14 agensi di bawahnya menyasarkan seramai 13,000 pengunjung dari sekitar Shah Alam dan Lembah Klang.

Katanya, program ini mendapat sokongan padu daripada rakan strategik iaitu Kerajaan Negeri Selangor dan Majlis Bandaraya Shah Alam.

"MITI Day yang telah dianjurkan sejak 2016 ini bertujuan mendekatkan rakyat kepada MITI dan bagi meningkatkan perhatian pemain industri tempatan atau PMKS terhadap peluang-peluang perniagaan melalui sektor pelaburan, perindustrian dan perdagangan di Malaysia," katanya.

image is not available

MITI berkata, komuniti perniagaan atau bakal usahawan boleh mendapat pelbagai manfaat dari taklimat mengenai keusahawanan, pembiayaan perniagaan dan fasilitasi eksport bagi menerokai pasaran tempatan dan antarabangsa seperti Bicara Saham: Ada Apa Dengan Saham, Terokai Pasaran Antarabangsa Bersama MATRADE, Financing for SME, Mid-Tier & Large Businesses, Jom Buat Produk Sendiri –Kosmetik & Detergent, Go Export Financing Programme dan Peluang Dalam Industri Halal.

image is not available

MITI Day Selangor juga menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti jualan harga kilang, food truck, Bintang MITI DAY, pameran kenderaan elektrik (EV), gerai-gerai usahawan PKS dan selebriti tempatan.

Program itu akan dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada 5 Ogos 2023 yang akan diiringi Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

image is not available

Layari media sosial MITI (Instagram: @mitimalaysia / Facebook: MITIMalaysia / Twitter: @MITIMalaysia) untuk maklumat lanjut pempamer dan aktiviti MITI Day Selangor 2023. - DagangNews.com