MITI percepat reformasi industri susulan pengurangan tarif eksport Malaysia kepada 19%

LocalBusiness & Finance
1 Aug 2025 • 12:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MITI percepat reformasi industri susulan pengurangan tarif eksport Malaysia kepada 19%

image is not available

01/08/2025 - 12:00

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan mempercepatkan reformasi industri dan strategi kepelbagaian pasaran susulan keputusan Amerika Syarikat (AS) mengurangkan tarif ke atas eksport Malaysia daripada 25% kepada 19% berkuat kuasa hari ini.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, hasil rundingan tersebut mencerminkan hubungan erat ekonomi Malaysia-AS dengan rundingan bermula seawal 6 Mei dan secara rasminya ditamatkan pada 31 Julai 2025.

Beliau berkata, kadar 19% itu secara umumnya sejajar dengan kadar yang dikenakan ke atas negara-negara lain di rantau Asia Tenggara dan paling penting, Malaysia bertegas dalam mempertahankan beberapa perkara penting dan kejayaan memperoleh kadar tarif 19% dicapai tanpa menjejaskan hak kedaulatan negara untuk melaksanakan dasar-dasar utama demi menyokong kestabilan dan pertumbuhan sosioekonomi negara.

"MITI menganggap pengurangan kadar ini sebagai satu pencapaian penting hasil daripada proses rundingan yang teliti dan berstrategi oleh Malaysia.

"Kami berterima kasih kepada rakan rundingan kami di AS, khususnya Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat dan Jabatan Perdagangan atas kerjasama dan sokongan yang membina sepanjang proses rundingan ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan agensi seperti Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menganggarkan kesan tarif terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Dalam usaha menguruskan kesan tarif, MITI akan terus bekerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan untuk mencari kaedah bagi mengurangkan impak tarif terhadap eksport Malaysia selain menggalakkan pengeksport memanfaatkan sepenuhnya 18 Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang dimiliki negara.

Meneruskan program reformasi industri selain menyokong syarikat Malaysia terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam menyesuaikan diri dengan tarif baharu.

Tengku Zafrul berkata, pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan para pemegang taruh bagi memaksimumkan peluang yang timbul daripada perkembangan ini, termasuk momentum kukuh dalam pelaburan yang telah diluluskan.

"Perkara itu didorong oleh projek infrastruktur yang sedang berjalan, kadar pelaksanaan yang konsisten melebihi 85% bagi pelaburan yang diluluskan, serta inisiatif pembangunan nasional yang bersifat pemangkin.

"Kami kekal komited untuk mempertahankan kepentingan perdagangan Malaysia sambil memupuk perkongsian yang saling menguntungkan dengan ekonomi-ekonomi utama, termasuk AS," katanya. - DagangNews.com

featured standard