Prospek pertumbuhan Pantech disokong pelaburan dalam segmen pembuatan - TA Securities

01/08/2025 - 16:48
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 1 Ogos - Prospek pertumbuhan Pantech Group Holdings Bhd disokong oleh pelaburan berterusan dalam cabang pembuatan syarikat, kata TA Securities.
Katanya, kumpulan itu sedang menaik taraf kilangnya di Klang dengan memberi fokus kepada automasi dan penggunaan mesin canggih bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manual.
Firma penyelidikan itu berkata, inisiatif utama termasuk menggantikan komponen dalam mesin pembentukan, memasang mesin lentur panjang frekuensi tinggi yang didigitalkan.
Ia juga sedang memperluas kapasiti pemesinan kawalan berangka berkomputer (CNC) yang semuanya dijangka mengukuhkan keupayaan operasi dan menyokong pertumbuhan jangka panjang.
"Walaupun cabaran luaran seperti tarif Seksyen 232 dan ketidakstabilan kadar pertukaran asing masih berterusan, pendedahan Pantech yang pelbagai merentasi sektor seperti petrokimia, kelapa sawit, rawatan air dan pembinaan kapal dijangka dapat memberikan perlindungan.
"Asas pembuatan yang kukuh serta hubungan jangka panjang dengan pelanggan meningkatkan daya tahan syarikat dalam persekitaran makroekonomi yang tidak menentu," katanya dalam satu nota kajian.
TA Securities tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatan selepas kumpulan itu mengumumkan keputusan kewangan terkininya.
Firma penyelidikan itu mengulangi saranan “beli” dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak 96 sen sesaham, berdasarkan tujuh kali anggaran pendapatan sesaham bagi tahun kewangan 2026 (FY26).
Bagi suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY26), Pantech mencatatkan keuntungan bersih teras sebanyak RM23 juta.
Ini adalah dalam jangkaan TA Securities dan konsensus, iaitu 21% daripada anggaran bagi setahun penuh.
Keuntungan bersih teras tidak termasuk Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) sekali sahaja sebanyak RM3.76 juta yang berpunca daripada penyiapan penjualan dua hartanah oleh anak syarikat kepada Pantech.
Kumpulan itu mencadangkan dividen interim khas sebanyak dua sen sesaham dengan pilihan untuk melabur semula ke dalam saham baharu Pantech Group di bawah pelan pelaburan semula dividen, yang akan diumumkan pada tarikh kemudian.- DagangNews.com
standard
