Mitsui Kinzoku labur RM5.2 bilion bina kilang kepingan tembaga baharu di Shah Alam

LocalBusiness & Finance
11 Nov 2026 • 12:53 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Mitsui Kinzoku labur RM5.2 bilion bina kilang kepingan tembaga baharu di Shah Alam Image from: Mitsui Kinzoku labur RM5.2 bilion bina kilang kepingan tembaga baharu di Shah Alam hamden11/11/2026 - 12:53 Kilang baharu akan dibina berhampiran kilang sedia ada milik Mitsui Kinzoku di Shah Alam. - Gambar/ mcf.com.my Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR11 Nov – Mitsui Kinzoku Co., Ltd. merancang melabur kira-kira 190 bilion yen (JPY) atau sekitar RM5.2 bilion untuk membina kilang kepingan logam tembaga yang sangat nipis baharu di Malaysia bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada industri kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor.

 

Syarikat berpangkalan di Jepun itu berkata, pembinaan kilang berkenaan bertujuan memastikan bekalan produk kepingan nipis logam tembaga kepada pelanggan kekal stabil susulan jangkaan pertumbuhan pesat berterusan dalam kedua-dua pasaran berkenaan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Tokyo pada Selasa (10 Nov 2026), Mitsui Kinzoku berkata, kilang baharu itu akan dibangunkan berhampiran anak syarikatnya, Mitsui Copper Foil (Malaysia) Sdn. Bhd.

 

Pelaburan itu merangkumi pembelian tanah bernilai kira-kira JPY14 bilion, pembinaan bangunan berjumlah JPY32 bilion serta perolehan peralatan pengeluaran dan aset lain bernilai JPY144 bilion.

 

Kilang berkenaan akan menghasilkan kepingan logam tembaga ultra nipis bersokongan pembawa MicroThin™ serta kepingan logam tembaga elektroenapan VSP™ yang digunakan untuk papan litar frekuensi tinggi.

 

Operasi kilang itu dijadualkan bermula secara berperingkat mulai April 2031.

 

Kapasiti dipertingkatkan

Menerusi pelaburan tersebut, kapasiti pengeluaran MicroThin™ dijangka meningkat sebanyak 400 unit dalam tempoh tiga tahun sehingga tahun kewangan 2033, dengan jumlah kapasiti pengeluaran mencapai 1,200 unit sebulan.

 

Bagi produk VSP™, kapasiti pengeluaran dijangka meningkat sebanyak 1,200 tan sebulan dalam tempoh sama, menjadikan jumlah kapasiti pengeluaran sebanyak 2,600 tan sebulan.

 

Mitsui Kinzoku berkata, tapak yang akan diperoleh mempunyai keupayaan untuk menampung kapasiti pengeluaran sehingga 3,600 tan VSP™ sebulan.

 

Seiring perkembangan pasaran, syarikat itu turut mempertimbangkan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran gabungan di tapak berkenaan dan lokasi lain kepada 5,000 tan sebulan.

 

Dari segi pembiayaan, pelaburan itu akan menggunakan tunai sedia ada, pinjaman serta sumber pembiayaan lain.

 

Keuntungan mulai 2031

Mitsui Kinzoku berkata, pelaburan berkenaan dijangka tidak memberi kesan ketara terhadap keputusan kewangan disatukannya bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027.

 

Bagaimanapun, menerusi pelaburan yang dirancang sehingga tahun kewangan 2030 serta projek baharu itu, keuntungan operasi perniagaan kerajang kuprum di bawah segmen Bahan Kejuruteraan dijangka meningkat sebanyak 3.2 kali ganda menjelang tahun kewangan 2030 dan 5.5 kali ganda menjelang tahun kewangan 2033, berbanding paras tahun kewangan 2025.

 

Pelaburan baharu itu dijangka mula menyumbang kepada pertumbuhan keuntungan syarikat mulai tahun kewangan 2031. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved