MKM sasar urus 80,000 jemaah, raih jualan RM50 juta pelancongan muslim menjelang 2028
zulfadli
31/10/2023 - 12:42
KUALA LUMPUR 31 Okt - MKM Ticketing Travel & Tour Sdn Bhd menyasarkan untuk mengendalikan 80,000 orang jemaah umrah, peningkatan 50% dalam bilangan jemaah haji atau 1,000 jemaah terpilih dengan sasaran jualan tiket dan pelancongan muslim sebanyak RM50 juta pada 2028.
Pengarah Strategik MKM, Abdul Hadi Abdul Raman berkata, bagi tahun ini sahaja, syarikat mencatat jualan sebanyak RM20 juta bagi jualan tiket dan pelancongan muslim.
"Berdasarkan pengalaman lalu, saya percaya sasaran yang ditetapkan dalam pelan berkenaan boleh dicapai dengan jayanya," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Terdahulu, syarikat pelancongan itu melancarkan strategik lima tahun (2024-2028) dalam usahanya untuk muncul sebagai pengendali umrah, haji dan pakej pelancongan muslim terbesar di negara ini.
Selain pelan tersebut, logo baharu juga diperkenalkan bagi menaikkan imej korporat syarikat supaya lebih dikenali bukan hanya di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa.
Abdul Hadi berkata, pihaknya sudah selesai melaksanakan penstrukturan semula organisasi dan kini giat meningkatkan proses mengupayakan kakitangan agar lebih mantap dalam semua aspek pengurusan.
Mengulas lanjut tentang logo baharu, beliau berkata, pengenalannya adalah sebagai mencerminkan komitmen kuat syarikat untuk terus berkembang lebih jauh lagi berbanding sebelumnya.

"Kami meletakkan ‘sayap’ pada logo berkenaan sebagai merujuk kepada usaha dan kesungguhan syarikat untuk terbang lebih tinggi," katanya.
Katanya, pelan strategik tersebut menggariskan bahawa operasi umrah, haji dan kendalian tiket serta pelancongan Muslim bakal menjadi teras utama dalam perniagaan syarikat.
Sementara itu pengerusinya, Datuk Seri Mohd Khairi Mat Jahaya pula berkata, ketika syarikat mula ditubuhkan pada 2011, persediaan pihaknya dalah tidak menyeluruh tapi kini sudah bersedia sepenuhnya dengan pasukan yang kuat dan berpengetahuan dan pengurusan lebih baik.
Beliau berkata, MKM memperuntukkan RM250,000 bagi pembukaan kesemua lima buah cawangan baharu pada tahun depan iaitu di Kelantan, Pulau Pinang, Johor, Kedah dan Pahang menjadikan jumlah keseluruhan kepada tujuh buah. Cawangan sedia ada kini terletak di Perak dan Perlis.
"Selain pembukaan cawangan baharu, pihak pengurusan juga akan menambah bilangan ejen kepada 200 orang berbanding lebih 80 orang yang aktif pada masa ini termasuk di Sabah dan Sarawak," katanya. - DagangNews.com

