MKT perlu tarik balik penggantungan tanpa syarat, tidak perlu 'karpet merah' - Maulizan

LocalPolitics
13 Mar 2026 • 1:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Maulizan Bujang

JOHOR BAHRU – Bekas Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang yang digantung keahliannya mahu parti mempertimbangkan untuk menarik balik penggantungan keahlian beberapa ahli tanpa syarat bagi memperkukuh perpaduan dalam parti.

Maulizan berkata, langkah tersebut wajar dipertimbangkan sekiranya kepimpinan parti berpendapat UMNO tidak mampu berpecah dan perlu kembali bersatu bagi memulihkan sokongan rakyat.

Menurutnya, ahli yang digantung sebenarnya masih berstatus sebagai ahli parti, namun hak mereka sebagai ahli dinafikan sepanjang tempoh penggantungan.

“Jika kepimpinan berpendapat parti tidak boleh terus lemah dan berpecah, MKT boleh sahaja membuat keputusan menarik balik penggantungan tanpa syarat.

“Tidak perlu ada syarat untuk memohon atau merayu kerana mereka yang digantung masih lagi ahli parti, cuma hak sebagai ahli dinafikan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Selain Maulizan, turut digantung selama enam tahun ialah Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif.

Bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut dipecat UMNO berikutan pelanggaran disiplin sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Penggantungan dan pemecatan pemimpin UMNO tersebut diputuskan oleh Majlis Tertinggi UMNO pada 27 Januari 2023.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Tiram, yang sudah lebih 40 tahun bersama UMNO berkata, sepanjang tempoh penggantungan itu beliau masih mengekalkan hubungan baik dengan rakan-rakan dalam parti.

Katanya, sepanjang penglibatan dalam UMNO, beliau pernah memegang jawatan Ketua UMNO Bahagian selama empat penggal selain dipilih sebagai wakil rakyat dan pernah berkhidmat sebagai Exco Kerajaan Johor.

" Sepanjang tempoh itu saya tidak pernah mengkhianati parti dan apabila digantung tanpa dinyatakan sebabnya, sudah tentulah perasaan kecewa tu ada apatah lagi timbul cerita fitnah di media sosial yang mengaitkan saya.

"Saya terima takdir yang ditentukan dan sepanjang tempoh penggantungan saya masih lagi berkawan dengan rakan rakan dari UMNO," katanya.

Beliau turut mengakui UMNO ketika ini masih belum sepenuhnya berjaya mengembalikan sokongan serta keyakinan rakyat seperti sebelum ini.

"Kita juga kena akui bahawa UMNO pada ketika ini masih belum dapat kembali sokongan dan keyakinan rakyat seperti dahulu.

"Sebarang usaha untuk perkukuhkan parti walaupun pahit bagi sesetengah orang mestilah dilakukan," katanya.

Dalam masa sama, beliau berharap semua pihak dapat mengelakkan daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan usaha penyatuan parti.

“Insya-ALLAH kami juga tidak memerlukan ‘karpet merah’ sekiranya ingin kembali kepada UMNO,” katanya.