MLBB rai sedekad bersama komuniti di Sarawak

LocalGaming
21 Oct 2026 • 10:22 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: MLBB rai sedekad bersama komuniti di Sarawak

PERMAINAN mudah alih popular, Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) meraikan ulang tahun ke-10 bersama komuniti tempatan menerusi Karnival #Karnival10BersamaMLBB yang berlangsung di Vivacity Megamall, Kuching, Sarawak dari 9 hingga 11 Oktober lalu.

Berlangsung selama tiga hari, karnival itu mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat dan keluarga menerusi pelbagai aktiviti yang menggabungkan permainan, sukan elektronik (e-sukan), muzik dan hiburan.

Dianjurkan sebagai sebahagian daripada kempen sambutan ulang tahun global ALL IN MLBB, acara itu turut mencerminkan pengaruh MLBB dalam budaya masyarakat Malaysia sepanjang sedekad lalu.

Ketika ini, hampir seorang daripada lima rakyat Malaysia bermain MLBB setiap bulan, manakala jumlah muat turun terkumpul permainan itu di negara ini melebihi 90 juta.

Ketua Penerbitan, Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran Kampus MOONTON Games Malaysia, Jeffery Chan berkata, MLBB berkembang bersama masyarakat Malaysia sehingga menjadi sebahagian daripada budaya yang menghubungkan individu daripada pelbagai latar belakang dan generasi.

“Sambutan ulang tahun ke-10 di Kuching mencerminkan sejauh mana MLBB berkembang bersama komuniti dan bakat tempatan.

“Memasuki dekad seterusnya, kami komited untuk terus memperkukuh hubungan ini serta membuka lebih banyak peluang kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Antara tarikan utama karnival itu ialah kemunculan kesemua 133 hero MLBB menerusi persembahan komuniti cosplay tempatan yang menghidupkan dunia Land of Dawn di luar skrin.

Peminat berpeluang menyaksikan persembahan secara langsung serta berinteraksi dengan watak kegemaran mereka sekali gus memberikan pengalaman berbeza kepada pengunjung.

Karnival itu turut menghimpunkan pemain e-sukan daripada pelbagai generasi. Pasukan Selangor Red Giants (SRG), yang lima kali menjuarai Liga Profesional Mobile Legends Malaysia (MPL Malaysia), mengadakan perlawanan persahabatan bersama peminat serta sesi bertemu peminat.

Image from: MLBB rai sedekad bersama komuniti di Sarawak
Soloz (kanan) menerima Anugerah Pencipta Kandungan MLBB 2026 daripada Ketua Penerbitan MLBB Malaysia di MOONTON Games, Graws Wen.

Sementara itu, pasukan veteran Team Saiyan berentap dengan Bigetron MY by VIT (BTRM) dalam perlawanan pameran bagi meraikan pemain dan pasukan yang membentuk landskap kompetitif MLBB di Malaysia.

Sambutan turut dimeriahkan dengan persembahan artis tempatan termasuk Ara Johari, Ismail Izzani, SonaOne dan Insomniacks yang menghimpunkan peminat muzik serta permainan dalam satu acara.

Kemuncak karnival menyaksikan penganjuran MLBB Creator Awards 2026 yang menyampaikan 40 anugerah kepada pencipta kandungan tempatan atas sumbangan mereka dalam mengembangkan komuniti digital dan industri kreatif negara.

Antara penerima ialah Muhammad Faris Zakaria atau lebih dikenali sebagai Soloz, yang memenangi anugerah Penstrim Terbaik Tahun Ini 2026 dan Pilihan Pemain 2026.

Bekas pemain profesional MLBB itu kini menjadi antara pencipta kandungan terkemuka di Malaysia.

Perjalanan hidupnya turut menjadi inspirasi kepada filem Soloz: Game of Life sekali gus memperlihatkan peluang membina kerjaya dalam bidang penciptaan kandungan dan hiburan di luar arena e-sukan.

Menurut Jeffery, sejak dilancarkan pada 2016 dengan hanya 10 hero, MLBB berkembang menjadi antara permainan mudah alih paling popular di dunia, dengan 133 hero, 42 kemas kini musim, 24 mod permainan santai dan lebih 1.5 bilion pemasangan di seluruh dunia.

“Ekosistem e-sukan MLBB menembusi pentas antarabangsa pada 2026, termasuk Sukan Asia, kejohanan MSC di Paris sempena Esports World Cup 2026 serta Kejohanan Dunia M8 yang bakal berlangsung di Istanbul.

“Ketika melangkah ke dekad kedua, Malaysia kekal sebagai bahagian penting dalam perjalanan MLBB.

“Sambutan di Kuching bukan sahaja meraikan pencapaian sepanjang sedekad lalu, malah mengiktiraf komuniti,” katanya.

The post MLBB rai sedekad bersama komuniti di Sarawak appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved