MMAG jual pesawat kargo Boeing 737 pada harga RM11.43 juta kepada Mont Gabanon Airlines dari Congo

LocalBusiness & Finance
19 Oct 2026 • 6:00 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MMAG jual pesawat kargo Boeing 737 pada harga RM11.43 juta kepada Mont Gabanon Airlines dari Congo Image from: MMAG jual pesawat kargo Boeing 737 pada harga RM11.43 juta kepada Mont Gabanon Airlines dari Congo amree19/10/2026 - 18:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Okt – MMAG Holdings Berhad menerusi anak syarikat tidak langsungnya, MJets Air Sdn Bhd, bersetuju menjual sebuah pesawat kargo Boeing B737-400SF pada harga tunai AS$2.8 juta (RM11.43 juta), dengan pelupusan itu dijangka mengakibatkan kerugian kira-kira RM12.69 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan tersebut berkata, subsidiari berkenaan memeterai perjanjian penjualan pesawat itu pada 19 Oktober 2026 dengan Mont Gabanon Airlines (MGA) yang berpangkalan di Republik Demokratik Congo, sebuah negara di rantau tengah Afrika.

 

Harga pelupusan tersebut berdasarkan kadar pertukaran AS$1 kepada RM4.082 pada 16 Oktober 2026. MGA merupakan bahagian penerbangan Mont Gabanon SARLU, sebuah syarikat liabiliti terhad persendirian, yang ditubuhkan pada 2024 dan memberi tumpuan perkhidmatan penerbangan domestik.

 

"Mengikut terma perjanjian, MGA perlu membayar deposit AS$1 juta (RM4.08 juta) sebelum pemeriksaan pesawat. Selepas pemeriksaan teknikal selesai dengan memuaskan, pembeli perlu menjelaskan baki AS$1.8 juta (RM7.34 juta) kepada MJets Air," kata MMAG.

 

Penyempurnaan transaksi tertakluk kepada beberapa syarat, termasuk pengeluaran sijil penerimaan teknikal oleh pembeli, penerimaan bayaran penuh, penyerahan dan penerimaan pesawat serta pembatalan pendaftaran pesawat. Penghantaran dibuat di luar Malaysia yang dipersetujui kedua-dua pihak.

 

Pesawat itu mempunyai nilai buku bersih belum diaudit sebanyak RM24.12 juta setakat 30 September 2026, berbanding harga pelupusan RM11.43 juta. Perbezaan tersebut menghasilkan anggaran kerugian pelupusan sebanyak RM12.69 juta kepada kumpulan.

 

MMAG_DagangNews2026

 

MMAG berkata pelupusan itu merupakan sebahagian semakan berterusan terhadap aset dan operasi penerbangan. Ketegangan geopolitik, ketidaktentuan global dan kenaikan harga bahan api telah meningkatkan kos operasi, selain mengurangkan permintaan bagi perkhidmatan sewaan pesawat.

 

"Lembaga pengarah berpandangan pengekalan pesawat itu tidak lagi berdaya maju dari sudut komersial tanpa rancangan penggunaan yang sesuai. Pelupusan tersebut dijangka membantu mengurangkan beban kewangan kumpulan dan menyusun semula operasi penerbangannya," jelas kumpulan berkenaan.

 

Hasil jualan tersebut ujarnya, akan digunakan pula terutamanya bagi memenuhi keperluan modal kerja MJets Air, termasuk pembayaran pemiutang perdagangan dan lain-lain, kos operasi, sewaan serta perbelanjaan harian perniagaan.

 

Dari sudut kewangan, pelupusan itu tidak mengubah modal saham terbitan MMAG atau pegangan pemegang saham utama, namun berdasarkan pengiraan pro forma, ia mengurangkan aset bersih daripada RM197.37 juta kepada RM184.68 juta, manakala nisbah penggearan naik daripada 0.17 kali kepada 0.18 kali.

 

Transaksi itu tidak memerlukan kelulusan pemegang saham MMAG dan dijangka selesai pada suku keempat 2026, tertakluk kepada pemenuhan terma serta syarat perjanjian. Lembaga pengarah menyifatkan pelupusan tersebut sebagai demi kepentingan terbaik syarikat dan kumpulan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved