MMC Ports terima kelulusan SC untuk disenaraikan di Pasaran Utama, tawaran IPO sehingga 4.3 bilion saham

LocalBusiness & Finance
23 Sep 2025 • 12:06 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MMC Ports terima kelulusan SC untuk disenaraikan di Pasaran Utama, tawaran IPO sehingga 4.3 bilion saham

image is not available

23/09/2025 - 12:06

Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Sept – MMC Port Holdings Bhd, pengendali pelabuhan kontena terbesar di negara ini bakal disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia selepas memperoleh kelulusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dengan tawaran awam permulaan (IPO) melibatkan penjualan sehingga 4.3 bilion saham.

Jumlah itu mewakili 30 peratus daripada modal saham terbitan kira-kira 14.2 bilion unit.

“Daripada 4.3 bilion saham itu, sebanyak 284.8 juta saham diperuntukkan kepada orang ramai manakala 1.3 juta saham akan ditawarkan kepada Pengarah serta pengurusan kanan utama MMC Ports dan anak-anak syarikat.

“Baki sehingga 4 bilion saham pula akan diagihkan kepada pelabur institusi tempatan dan asing serta pelabur terpilih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MMC Ports kini menguasai kedudukan sebagai pengendali pelabuhan kontena terbesar negara dan hab utama untuk penghantaran semula serta kargo pintu masuk.

Syarikat ini juga berada di kedudukan nombor satu pengendali pelabuhan milik persendirian di Asia Tenggara serta kelima terbesar di dunia dari segi jumlah kendalian ekuiti pada tahun 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif MMC Ports, Datuk Azman Shah Mohd Yusof berkata, penyenaraian itu penting selepas syarikat mengukuhkan kedudukan sebagai pengendali pelabuhan utama negara.

“Sebagai pengendali empat daripada lima pelabuhan terbesar Malaysia pada 2024 dan termasuk dua dalam kalangan tujuh pelabuhan teratas Asia Tenggara, kami sedang memperluas kapasiti kendalian kontena dan kargo konvensional.

“MMC Ports juga meningkatkan kecekapan melalui pendigitalan dan automasi bagi memenuhi permintaan di Selat Melaka.

“Kami sedang berkembang melalui usaha sama strategik dan perkongsian selaras dengan pertumbuhan perdagangan global, pemindahan aktiviti pembuatan serta penubuhan hab pengedaran serantau dan penyusunan semula rantaian bekalan dunia,” katanya.

CIMB Investment Bank Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penyelaras global, pengurus buku bersama dan penaja jamin bagi IPO MMC Ports.

The Hongkong and Shanghai Banking Corporation Ltd (Cawangan Singapura) turut menjadi penyelaras global dan pengurus buku bersama.

Sementara itu, AmInvestment Bank Bhd, Bank Muamalat Malaysia Bhd, CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd, CLSA Ltd, CLSA Securities Malaysia Sdn Bhd, Jefferies Singapore Ltd, Kenanga Investment Bank Bhd, Maybank Investment Bank Bhd dan RHB Investment Bank Bhd disenaraikan sebagai pengurus buku bersama.


MMC Ports mengendalikan lima pelabuhan utama di Malaysia iaitu Pelabuhan Tanjung Pelepas, Pelabuhan Johor, Northport, Pelabuhan Pulau Pinang dan Pelabuhan Tanjung Bruas.

Pelabuhan Tanjung Pelepas dinamakan pelabuhan paling efisien di Asia Tenggara berdasarkan Container Port Performance Index (CPPI) oleh Bank Dunia pada 2023.

Selain operasi kontena, kumpulan ini turut mengurus terminal jeti produk pepejal, menyediakan perkhidmatan pemindahan kapal ke kapal di pelabuhan luar pesisir serta mengendalikan tiga terminal pelayaran.

Dengan kedudukan strategik di sepanjang Selat Melaka, laluan perkapalan tersibuk dunia, MMC Ports memainkan peranan penting sebagai hab penghantaran semula global dan pintu masuk pengedaran serantau.- DagangNews.com

standard