MMHE catat kerugian bersih RM484 juta pada FY23 diheret kelemahan operasi kejuruteraan berat
diyana
14/02/2024 - 14:56
KUALA LUMPUR 14 Feb - Malaysia Marine And Heavy Engineering Holdings Bhd mencatat kerugian bersih RM484 juta bagi tahun kewangan 2023 (FY23) berbanding keuntungan bersih RM67.78 juta pada tahun sebelumnya, diheret kerugian operasi kejuruteraan beratnya.
Kerugian sesaham penyedia penyelesaian tenaga dan marin itu untuk tahun kewangan dalam tinjauan bernilai 30.3 sen berbanding pendapatan sesaham 4.2 sen sebelumnya.
Bagaimanapun, pendapatan kumpulan pada FY23 melonjak dua kali ganda kepada RM3.3 bilion daripada RM1.65 bilion didorong sumbangan tinggi segmen kejuruteraan berat berjumlah RM2.99 bilion, lebih dua kali ganda berbanding RM1.3 bilion.
MMHE dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini menjelaskan bahawa kerugian operasi keseluruhan sebanyak RM467.7 juta pada FY23 berbanding keuntungan operasi bernilai RM60.9 juta pada tahun sebelumnya adalah berikutan peruntukan kos tambahan yang diiktiraf untuk projek kejuruteraan berat yang sedang berjalan.
“Kerugian operasi adalah berikutan peruntukan kos tambahan yang terhasil daripada jadual yang disemak semula dan impak kenaikan harga ke atas projek yang sedang dijalankan pada tahun semasa.
“Di samping itu, kelemahan ringgit Malaysia berbanding dolar Amerika Syarikat telah memberi kesan negatif terhadap perlindungan nilai belum terima untuk projek kejuruteraan berat,” tambahnya.
Mengulas tentang prospek syarikat, MMHE berkata segmen kejuruteraan berat terus berdepan cabaran dalam pelaksanaan projek yang sedang berlangsung sekitar margin belanjawan asal akibat kesan kenaikan harga bahan mentah dan gangguan rantaian bekalan global.
“Projek-projek ini, yang dianugerahkan secara kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan (EPCIC) sekali gus oleh pelanggan beberapa tahun lalu, menghadapi usaha berterusan untuk pulih daripada kesan inflasi dan jadual. Kumpulan akan terus mengejar pemulihan impak ini daripada pelanggan,” ulasnya.
Bagi segmen marin pula, kumpulan itu menjangkakan persaingan akan kekal sengit, memandangkan kehadiran kawasan pembaikan pengangkutan gas asli cecair (LNG) baharu di China dan negara jiran yang lain.
Walaupun begitu, MMHE berkata ia meneruskan usaha dalam mendapatkan lebih banyak peluang dok kering dengan penggiat LNG utama, serta projek penukaran, memandangkan harga minyak semakin meningkat, ditambah pasaran minyak dan gas yang stabil.
“Kumpulan akan terus meneroka peluang dalam pasaran domestik dan antarabangsa. Dengan projek stesen tenaga angin luar pesisir yang dianugerahkan baru-baru ini, kumpulan akan memberi tumpuan untuk meneruskan lebih banyak projek tenaga boleh diperbaharui serta projek dalam ruang penyahkarbonan.
“Setelah mempertimbangkan isu rantaian bekalan global, kumpulan telah mengambil langkah untuk menambah baik strategi kontraknya dengan pelanggan menerusi konsep pakatan, asas boleh dibayar balik atau kos tambah untuk mengurangkan isu tersebut,” katanya.
Saham MMHE menyusut 0.5 sen atau 1% kepada 48 sen setakat pukul 2:53 petang ini, memberikannya permodalan pasaran bernilai RM768 juta. - DagangNews.com

