MMHE dijangka catat kerugian RM118.7 juta pada FY23 akibat peruntukan kos, kelemahan segmen marin

Business & Finance
17 Aug 2023 • 12:43 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MMHE dijangka catat kerugian RM118.7 juta pada FY23 akibat peruntukan kos, kelemahan segmen marin

diyana

17/08/2023 - 12:43

KUALA LUMPUR 17 Ogos - RHB Investment menjangkakan Malaysia Marine And Heavy Engineering Holdings Bhd (MMHE) mencatat kerugian RM118.7 juta pada tahun kewangan 2023 (FY23) daripada keuntungan RM38 juta.

Firma penyelidikan itu berkata ramalan kerugian tersebut mengambil kira peruntukan kos yang tidak dijangka dan kelemahan sumbangan segmen marin.

“Kami mengurangkan unjuran pendapatan FY24-25 sebanyak 10% sehingga 16% dengan mengandaikan margin yang lebih rendah daripada bahagian kejuruteraan berat dan marin.

“Bagaimanapun, kami kekal optimistik terhadap MMHE kerana kami tidak melihat peruntukan kos berlaku lagi. Buku pesanannya yang mantap mungkin merangkumi FY24-25,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Oleh itu, firma itu melihat pemulihan pendapatan yang lebih kukuh, disokong oleh buku pesanannya yang bernilai RM6.2 bilion.

RHB Investment mengekalkan saranan ‘beli’ dengan TP dikurangkan kepada 60 sen sesaham daripada 80 sen.

Susulan keputusan suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) kumpulan itu semalam, firma itu berkata kerugian bersih teras sebanyak RM385.5 juta adalah di bawah jangkaan tahun penuhnya dan konsensus, masing-masing menganggarkan keuntungan RM38 juta dan RM68 juta.

Jelasnya, prestasi MMHE pada suku tersebut merosot akibat peruntukan kos berikutan keputusan untuk menangguhkan pemuatan projek tertentu untuk melakukan kerja tambahan di darat dan bukannya di luar pesisir (kerana ia lebih mahal).

Sebelum pemuatan fabrikasi, MMHE tidak dapat menuntut sebarang pembayaran penting daripada pelanggannya, justeru ia perlu menanggung kos tersebut.

“Pihak pengurusan tidak menjangkakan sebarang peruntukan lagi dan sedang berusaha untuk mendapatkan semula kos tersebut pada suku-suku mendatang.

“Kami percaya pemulihan kos, serta keuntungan suku-suku mendatang daripada segmen kejuruteraan berat akan mengimbangi sebahagian kerugian 2QFY23.

Pada rehat tengahari, saham MMHE susut 1 sen atau 2.1% kepada 46.5 sen dengan permodalan pasaran berjumlah RM744 juta. - DagangNews.com