MMHE catat kerugian bersih RM388.7 juta pada 2QFY23 akibat peruntukan kos bagi projek yang sedang dilaksana

Business & Finance
16 Aug 2023 • 2:37 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MMHE catat kerugian bersih RM388.7 juta pada 2QFY23 akibat peruntukan kos bagi projek yang sedang dilaksana

diyana

16/08/2023 - 14:37

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Malaysia Marine And Heavy Engineering Holdings Bhd (MMHE) telah mencatat kerugian bersih RM388.7 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) berbanding keuntungan RM21.97 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya, akibat peruntukan kos tambahan untuk projek yang sedang dilaksanakan.

Pendapatan kumpulan, bagaimanapun, meningkat dua kali ganda atau 164% kepada RM1.06 bilion pada suku dalam tinjauan daripada RM400.6 juta setahun lalu, terutamanya disebabkan pendapatan yang lebih tinggi daripada segmen kejuruteraan berat.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata segmen tersebut menyumbang pendapatan berjumlah RM990.9 juta, melonjak lebih tiga kali ganda daripada RM309.9 juta pada suku kedua tahun sebelumnya.

MMHE telah mencatat kerugian sesaham sebanyak 24.30 sen daripada pendapatan sesaham 1.40 sen sebelumnya.

Secara kumulatif, kerugian bersih MMHE separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23) adalah RM385 juta berbanding keuntungan bersih RM24.7 juta pada tahun lalu, sementara pendapatannya meningkat 89.7% kepada RM1.55 bilion daripada RM818 juta.

Mengulas tentang prospeknya, MMHE berkata segmen kejuruteraan berat akan terus berdepan dengan cabaran pelaksanaan projek yang sedang berjalan dalam margin anggaran asal, disebabkan kesan kenaikan harga bahan mentah dan gangguan rantaian bekalan global.

“Projek-projek ini telah dianugerahkan secara kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan (EPCIC) sekaligus oleh pelanggan beberapa tahun lalu. Kumpulan akan meneruskan pemulihan kesan inflasi dan jadual daripada pelanggan,” katanya.

Sementara itu, MMHE menjangkakan permintaan untuk aktiviti dok kering meningkat memandangkan pemilik kapal bersiap sedia untuk peningkatan keperluan perdagangan bawaan laut sehingga akhir tahun ini.

“Namun, persaingan yang lebih sengit dalam kalangan limbungan kapal dijangka terus memberi kesan kepada operasi perniagaan marin sejak pembukaan semula sempadan China. Oleh itu, kumpulan itu menjangkakan segmen marin akan kekal mencabar,” katanya.

Menurut MMHE, ia akan terus meneroka peluang dalam pasaran domestik dan antarabangsa, dengan penekanan pada penyahkarbonan dan tenaga boleh diperbaharui dipertingkatkan.

"Kumpulan itu juga sedang meneroka cara untuk menambah baik strategi kontraknya dengan pelanggan melalui konsep pakatan atau atas dasar tambah kos, jika boleh, untuk mengurangkan risiko inflasi global untuk projek masa depan," tambahnya.

Pada rehat tengah hari Rabu, saham dalam MHB ditutup setengah sen atau 0.87% lebih tinggi pada 58 sen, menilai kumpulan itu pada RM928 juta.

Pada waktu penulisan, saham MMHE menokok 0.5 sen atau 0.9% kepada 58 sen dengan permodalan pasaran sebanyak RM928 juta. - DagangNews.com