MMHE miliki prospek kukuh, banyak projek baharu dengan terma menguntungkan - RHB IB

LocalBusiness & Finance
22 Aug 2024 • 12:03 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MMHE miliki prospek kukuh, banyak projek baharu dengan terma menguntungkan - RHB IB

herman

22/08/2024 - 12:03

KUALA LUMPUR 22 Ogos - RHB Investment Bank optimis mengenai prospek Malaysia Marine and Heavy Engineering Berhad (MMHE) apabila ia beralih kepada projek-projek baharu daripada yang lebih lama dengan terma-terma perjanjian lebih menguntungkan sambil memaparkan prestasi bertahan dalam segmen marin.

Firma penyelidikan itu berkata, setakat suku pertama 2024 (1Q24), buku pesanan MMHE meningkat 14.8% QoQ kepada RM6.2bn daripada RM5.4bn pada suku sebelumnya, dipacu oleh satu lagi tawaran projek substesen luar pesisir (OSS).

"Dengan tempahan yang diterima MMHE sekarang, prospeknya kelihatan kukuh dengan kegiatan kerja dan penjanaan hasil yang berterusan sehingga 2028.

"Selain itu, buku tender kumpulan ini berada dalam keadaan baik, iaitu antara RM7-RM8 bilion dengan nisbah pembahagian 30:70 antara kerja antarabangsa dan tempatan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Menurut RHB Investmet, pihak pengurusan juga yakin masih mempunyai penguasaan pasaran yang besar bagi segmen marin meskipun berdepan persaingan sengit.

"MMHE meraih dua kerja penukaran pada 1H24 dan berjaya menembusi pasaran Greece dengan menjalankan operasinya di Jepun dan Korea Selatan pada masa yang sama.

"Kumpulan ini menjangkakan momentum ini dapat diteruskan sehingga akhir tahun ini," jelas firma penyelidikan itu.

Sementara itu, RHB Investment mengekalkan saranan 'Beli' saham MMHE dengan harga sasaran (TP) baharu mencecah 61 sen sesaham daripada 60 sen dan harga saham berpotensi menaik 31%.

Menurutnya, MMHE merekodkan keputusan melepasi jangkaan disebabkan oleh tuntutan bayaran balik kos yang dibuat.

"Perolehan FY24 disemak kepada RM88.3 juta daripada RM38.5 juta berikutan tuntutan bayaran balik kos. Perolehan FY25F-26F turut disemak naik sebanyak 8.1% dan 9.8% kerana paras margin yang lebih baik.

"TP dinaikkan kepada 61 sen berdasarkan P/BV FY25F 0.7x atau +1.5SD daripada purata 5 tahun memandangkan buku pesanan MMHE kukuh. Hal ini menunjukkan prospek yang cerah untuk sektor ini," ujarnya.

Risiko utama kata RHB Investment termasuk penambahan kerja memperlahan, kos bahan lebih mahal daripada jangkaan, dan kekurangan bekalan buruh. - DagangNews.com