MMM Group kemuka rayuan selepas Bursa Malaysia tolak pelan keluar dari status PN17

LocalBusiness & Finance
4 Aug 2026 • 9:11 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MMM Group kemuka rayuan selepas Bursa Malaysia tolak pelan keluar dari status PN17 Image from: MMM Group kemuka rayuan selepas Bursa Malaysia tolak pelan keluar dari status PN17 liza04/08/2026 - 09:11 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 Ogos – MMM Group Bhd akan membuat rayuan terhadap keputusan Bursa Securities yang menolak pelan regularisasinya untuk keluar daripada status PN17 sebagai usaha terakhirnya mengelakkan syarikat itu dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia.

 

MMM mempunyai tempoh sehingga 9 Ogos ini untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.

 

Sekiranya rayuan tidak dikemukakan atau gagal mendapat kelulusan, sekuriti MMM akan dinyahsenarai dua hari dagangan selepas menerima notis rasmi daripada Bursa Malaysia.

 

MMM, yang sebelum ini dikenali sebagai Asia Media Group Bhd telah berada di bawah status PN17 sejak Oktober 2019 selepas ekuiti pemegang sahamnya susut di bawah 25% daripada modal saham terbitan, yang tidak lagi memenuhi syarat kewangan ditetapkan bagi syarikat tersenarai.

 

Bursa Persoal Nilai Pengambilalihan Dan Prospek Perniagaan

Penolakan Bursa berpunca daripada beberapa kebimbangan terhadap pelan regularisasi yang dicadangkan MMM, termasuk cadangan mengambil alih syarikat pengiklanan luar EDSB Outdoor Sdn Bhd pada harga RM16 juta. Cadangan pengambilalihan itu diumumkan pada Ogos 2025.

 

Menurut Bursa, harga pembelian itu jauh lebih tinggi berbanding aset bersih EDSB yang hanya sekitar RM800,000. 

 

Malah, cadangan menaik taraf 26 papan iklan konvensional kepada papan iklan digital akan meningkatkan jumlah pelaburan kepada RM22.16 juta.

 

Walaupun pengasas EDSB, Chong Yoke Lai dan Gan Soon Choon, memberikan jaminan keuntungan selepas cukai sebanyak RM2 juta setahun bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 hingga 2028, Bursa berpandangan jumlah keseluruhan RM6 juta itu masih tidak sepadan dengan nilai pengambilalihan.

 

Bursa turut berpendapat jaminan keuntungan tersebut tidak membuktikan EDSB mampu menjana pendapatan yang mampan selepas tempoh jaminan berakhir. 

 

Selain itu, pengambilalihan yang dibuat sepenuhnya secara tunai menyebabkan vendor tidak mempunyai pegangan ekuiti dalam MMM yang diperbesarkan serta tidak berkongsi risiko dan prestasi masa depan syarikat.

 

t

 

Prestasi EDSB Dan Pelan Pemulihan Masih Diragui

Bursa turut mempersoalkan daya tahan perniagaan EDSB apabila hasil syarikat itu merosot kepada RM6.09 juta pada tahun kewangan 2025 berbanding RM8.62 juta pada tahun kewangan 2023, selain mencatatkan kerugian dalam tiga daripada empat tahun kewangan yang lalu.

 

Pada masa sama, penyempurnaan pengambilalihan bergantung kepada kelulusan bagi 144 tapak operasi EDSB. Bagaimanapun, syarikat itu menjangkakan kelulusan hanya akan diperoleh menjelang suku kedua 2027 yang berisiko melambatkan pelaksanaan pelan regularisasi.

 

Keadaan itu juga boleh menyebabkan MMM menanggung kos tambahan untuk mendapatkan kelulusan bagi baki 84 tapak operasi serta berdepan risiko kawal selia sekiranya kelulusan yang diperlukan gagal diperoleh.

 

Bursa juga berpandangan cadangan pengurangan modal yang akan menghapuskan kerugian terkumpul RM32.65 juta dan meningkatkan ekuiti pemegang saham kepada kira-kira RM42.8 juta lebih banyak disumbangkan oleh pelarasan perakaunan berbanding keuntungan operasi yang mampan.

 

Sehubungan itu, MMM gagal membuktikan punca syarikat itu diklasifikasikan sebagai PN17 telah ditangani secara menyeluruh serta risiko untuk kembali mengalami masalah kewangan berjaya dikurangkan.

 

Pelan Kutip Dana Dan Prestasi Kewangan

Pelan regularisasi yang dicadangkan turut merangkumi terbitan hak bersama waran percuma selain penempatan persendirian bagi mengumpul sehingga RM39.97 juta serta cadangan penyatuan saham pada nisbah 10 kepada satu.

 

Dalam pelan itu, Grand Portfolio Sdn. Bhd. yang dimiliki oleh Chen Jui-Liang komited melanggan sekurang-kurangnya 108.33 juta saham hak, sekali gus meningkatkan pegangannya dalam MMM kepada 30.81% berbanding 12.51% sebelum ini.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026, MMM mencatatkan keuntungan bersih RM3.02 juta berbanding kerugian bersih RM615,000 pada tahun sebelumnya manakala hasil melonjak lebih dua kali ganda kepada RM17.93 juta daripada RM7.97 juta. 

 

Peningkatan itu disumbangkan oleh prestasi lebih baik segmen pengurusan acara, pengiklanan luar dan projektor angkat (lift-up projector).

 

Bagaimanapun, pencapaian tersebut masih belum cukup meyakinkan Bursa bahawa syarikat itu mempunyai asas keuntungan yang mampan untuk keluar daripada status PN17.  - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved