MMU berkabung hingga Jumaat, kenang jasa Tun Dr. Siti Hasmah

29 Sep 2026 • 4:13 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: MMU berkabung hingga Jumaat, kenang jasa Tun Dr. Siti Hasmah

CYBERJAYA: Universiti Multimedia (MMU) berkabung sehingga Jumaat ini sebagai tanda penghormatan atas pemergian Canselor pertamanya, Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohamad Ali yang menghembuskan nafas terakhir semalam.

Presiden MMU, Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd Su’ud berkata, seluruh warga universiti bersedih dengan pemergian Allahyarham, yang mempunyai hubungan amat rapat dengan MMU sejak dilantik sebagai canselor pertama universiti berkenaan pada 1997.

“Seluruh warga MMU mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham dan MMU berkabung sehingga Jumaat ini,” katanya ketika ditemui pada Bengkel Kecerdasan Buatan Untuk Pengamal Media Profesional anjuran MMU dengan kerjasama Kelab Media Putrajaya, di sini hari ini.

Sebagai tanda penghormatan, MMU turut mengibarkan bendera pada separuh tiang bermula semalam hingga Jumaat ini.

MMU juga akan mengadakan majlis tahlil di Surau Al-Hidayah, kampus MMU Cyberjaya dan Surau Al-Irsyad di kampus MMU Melaka pada Khamis malam Jumaat dan setiap kali selepas solat Zohor.

Tun Dr. Siti Hasmah dilantik sebagai Canselor pertama MMU pada 20 Jun 1997 dan memegang jawatan itu sehingga 2012. Walaupun tidak lagi menyandang jawatan canselor selepas 2012, hubungan Almarhumah dengan MMU terus erat apabila beliau sering menghadiri pelbagai acara dan aktiviti universiti serta meluangkan masa bersama warga dan pelajar.

Almarhumah turut dikenali sebagai ‘Ibu Universiti’ dalam kalangan warga MMU, mencerminkan hubungan istimewa beliau dengan universiti berkenaan yang berterusan selama bertahun-tahun.

Menurut Mazliham, pemergian Almarhumah merupakan satu kehilangan besar buat negara, terutama dalam bidang pendidikan tinggi.

“Beliau bukan sahaja Canselor pertama MMU, tetapi juga seorang tokoh yang sentiasa dekat dengan warga universiti dan memberikan sokongan kepada pelbagai aktiviti yang kami anjurkan. Jasa dan sumbangan beliau kepada MMU akan sentiasa dikenang oleh seluruh warga universiti,” katanya.

Malah, pada Rabu minggu lepas, Almarhumah sempat menghadiri program Beyond The Stage Orchestra di Dewan Tun Canselor, MMU Cyberjaya. Dalam program itu, Almarhumah turut membuat persembahan istimewa dengan memainkan biola, yang kini menjadi antara kenangan terakhir beliau bersama warga MMU. – UTUSAN

The post MMU berkabung hingga Jumaat, kenang jasa Tun Dr. Siti Hasmah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved