MN Holdings berpotensi raih projek RM500 juta antara 2025 hingga 2027 - Maybank IB

Business & Finance
15 May 2025 • 4:07 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MN Holdings berpotensi raih projek RM500 juta antara 2025 hingga 2027 - Maybank IB

image is not available

15/05/2025 - 16:07

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 15 Mei - MN Holdings Bhd berpotensi memperoleh projek baharu bernilai RM500 juta bagi tempoh tahun kewangan 2025 hingga 2027, kata Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB).

Menurutnya, ia berikutan langkah syarikat itu yang semakin aktif terlibat dalam projek utiliti seperti sistem pembetungan, paip air dan kemudahan kawalan banjir.

"Daripada RM662 juta nilai projek yang telah diperoleh setakat ini pada tahun ini, sebanyak 60 peratus daripadanya melibatkan projek pusat data.

"Momentum ini dijangka berterusan," kata Maybank IB dalam satu nota kajian.

MN Holdings semalam meraih kontrak bernilai RM37.9 juta bagi kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan, ujian dan pentauliahan talian penghantaran bagi sebuah loji jana kuasa dari sisa pepejal di kawasan tengah Semenanjung.

"Kontrak ini meningkatkan nilai buku pesanan belum siap MN Holdings kepada RM1.2 bilion, bersamaan 4.7 kali pendapatan tahun kewangan 2024 syarikat," tambah Maybank IB.



Jelasnya, syarikat berkenaan juga memberi tumpuan kepada projek kemudahan berkaitan tenaga dalam masa terdekat.

"Fokus ini disokong oleh beberapa perkembangan utama seperti usaha Tenaga Nasional Bhd (TNB) memodenkan grid tenaga, permintaan tinggi terhadap pusat data serta pertumbuhan infrastruktur berkaitan industri semikonduktor," ujarnya. - DagangNews.com

standard