Stok minyak sawit mentah melonjak 1.87 juta tan susulan permintaan rendah - penganalisis

15/05/2025 - 13:19
Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 15 Mei - Stok minyak sawit mentah (CPO) Malaysia melonjak kepada 1.87 juta tan pada April 2025, paras tertinggi dalam enam bulan sehingga dijangka menekan harga dalam masa terdekat.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, peningkatan stok itu didorong oleh pola penanaman musiman yang lebih tinggi, permintaan yang lemah semasa musim perayaan dan harga CPO yang rendah.
Katanya, keadaan itu menyebabkan kurangnya aktiviti mencampur biodiesel secara sukarela.
"Selain itu, konflik antara India dan Pakistan yang juga dua pengimport utama minyak sawit, boleh menurunkan permintaan jika ketegangan meningkat semula," kata HLIB dalam satu laporan.
HLIB menjangka harga CPO kekal pada RM4,000 setan untuk 2025 dan RM3,800 setan untuk 2026.
"Pengeluaran yang semakin pulih, terutama dari Indonesia, akan mengehadkan kenaikan harga dalam jangka masa pendek dan sederhana," jelasnya.
Setakat tahun ini, harga CPO jatuh lebih 20% kepada RM3,780 setiap tan kerana bekalan dijangka semakin bertambah.
Purata harga tahun ini ialah RM4,560 setiap tan.
HLIB mengekalkan penilaian 'neutral' terhadap sektor perladangan kerana tiada faktor kuat yang boleh menaikkan permintaan.
Antara saham utama yang menerima saranan 'beli' adalah SD Guthrie Bhd pada harga RM5.17, Johor Plantations Group Bhd (RM1.35) dan IOI Corp Bhd (RM4.24).
Sementara itu, CIMB Research berkata, stok minyak sawit pada April 2025 melebihi jangkaan, lebih tinggi daripada ramalan Bloomberg pada 1.79 juta tan dan anggarannya (1.68 juta tan), disebabkan oleh peningkatan bekalan.
Pengeluaran minyak sawit juga naik 21% berbanding bulan sebelumnya kepada 1.68 juta tan, iaitu yang tertinggi untuk bulan April sejak tahun 2015.
CIMB Research turut menyatakan, stok yang semakin tinggi sebanyak 2.15 juta tan pada bulan ini, akan memberi kesan negatif kepada harga CPO.
Firma penyelidikan itu mengekalkan jangkaan harga CPO pada RM4,200 setiap tan untuk 2025, disokong oleh mandat biodiesel di Indonesia dan kawasan tanaman baharu yang terhad.
Namun, ia menurunkan penilaian sektor perladangan daripada 'overweight' kepada 'neutral' selepas mengurangkan saranan untuk saham SD Guthrie daripada 'beli' kepada 'pegang', kerana tiada pemangkin jangka pendek yang kuat.
TA Securities juga mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor sama, dengan jangkaan harga CPO 2025 kekal pada RM3,800 setiap tan.
"Kami memberikan saranan 'beli' untuk saham IOI pada harga RM3.94 dan United Malacca Bhd (RM5.58), 'pegang' untuk SD Guthrie (RM4.94), Kuala Lumpur Kepong (RM20.54), TSH Resources (RM1.14) dan Kim Loong Resources (RM2.31)," jelasnya.
Menurutnya, antara risiko utama yang boleh menjejaskan sektor tersebut adalah bekalan kacang soya dari Amerika Selatan, permintaan yang pulih daripada jangkaan, pengeluaran minyak sawit yang lebih rendah dan kos pengeluaran yang turun dengan ketara. - DagangNews.com
standard
