MN Holdings catat lonjakan untung bersih kepada RM16.69 juta pada 3QFY25, raih kontrak pusat data RM52.5 juta

TechnologyBusiness & Finance
28 May 2025 • 10:16 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MN Holdings catat lonjakan untung bersih kepada RM16.69 juta pada 3QFY25, raih kontrak pusat data RM52.5 juta

image is not available

28/05/2025 - 10:16

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 28 Mei – MN Holdings Bhd mencatatkan peningkatan untung bersih lebih tiga kali ganda kepada RM16.69 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2025 (3QFY25) berbanding RM4.8 juta, sekali gus mencatatkan keuntungan sukuan tertinggi dalam sejarah syarikat.

Syarikat itu turut mengumumkan penerimaan satu lagi projek pusat data bernilai RM52.5 juta.

Prestasi kukuh disumbangkan oleh kemajuan lebih pantas projek utama utiliti bawah tanah dan pencawang.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, pelan pertumbuhan strategik turut menyumbang kepada peningkatan prestasi kewangan keseluruhan.

Pendapatan suku tersebut melonjak lebih dua kali ganda kepada RM127.42 juta berbanding RM51.11 juta, manakala pendapatan sesaham meningkat kepada 3.01 sen daripada 1.12 sen.

Syarikat turut mengisytiharkan dividen sementara kedua 0.1 sen sesaham.

Pengarah Urusan MN Holdings, Datuk Clement Toh berkata, prestasi ini mencerminkan pelaksanaan berdisiplin dan keupayaan mendalam dalam segmen infrastruktur utama.

"Dengan permintaan berterusan terhadap projek tenaga daripada agihan kuasa hingga pusat data dan tenaga boleh diperbaharui, kami berada dalam kedudukan kukuh untuk menyampaikan nilai serta memenuhi keperluan infrastruktur negara yang berkembang," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kenyataan berasingan, MN Holdings memaklumkan anak syarikatnya, MN Power Transmission Sdn Bhd, dianugerahkan kontrak fasa kedua projek sambungan pengguna ke pusat data di selatan Semenanjung Malaysia.

Pelanggan dikenali sebagai Company A, yang dirahsiakan atas perjanjian tidak pendedahan (NDA), menyediakan perkhidmatan teknologi maklumat seperti hosting, pusat data, dan pemprosesan data.

Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2025, untung bersih meningkat lebih dua kali ganda kepada RM36.4 juta berbanding RM13 juta, manakala pendapatan naik kepada RM356 juta berbanding RM181.2 juta.

MN Power Transmission akan mereka bentuk, membekal, memasang, menguji, dan mengendalikan kemudahan persisiran pantai bagi penghantaran data menggunakan kabel dasar laut dan daratan.

Projek dijangka siap 30 September 2025, dengan syarikat turut mengurus kerja pembinaan, buruh, dan penyelenggaraan selepas siap.

Saham MN Holdings ditutup meningkat satu sen kepada RM1.30 pada Selasa, dengan nilai pasaran RM753.6 juta.- DagangNews.com

standard