MN Holdings kukuh kedudukan dalam sektor tenaga dengan buku tempahan RM1.1 bilion - Maybank IB

LocalBusiness & Finance
15 Oct 2025 • 10:08 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MN Holdings kukuh kedudukan dalam sektor tenaga dengan buku tempahan RM1.1 bilion - Maybank IB

image is not available

15/10/2025 - 10:08

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Okt - Firma kejuruteraan dan pembinaan infrastruktur, MN Holdings Berhad terus mengukuhkan kedudukannya dalam sektor tenaga dengan buku tempahan bernilai RM1.1 bilion selain tender yang sedang diusahakan mencecah sehingga RM1.2 bilion.

Maybank Investment Bank berkata, situasi itu mencerminkan kedudukan kumpulan sebagai penerima manfaat utama daripada dorongan kerajaan terhadap tenaga boleh diperbaharui (RE) dan pembangunan grid menerusi Belanjawan 2026, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan yang kukuh untuk tempoh 2026 hingga 2028.

"Kami menaikkan unjuran keuntungan bersih kumpulan bagi FY26 hingga FY28 antara 7% hingga 12%, didorong pengiktirafan penuh projek pusat data serta peningkatan peluang kemenangan kerja baharu.

"Antara faktor utama ialah projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) pencawang bernilai RM180 juta, yang dijangka siap dan diiktiraf sepenuhnya pada FY26, menyumbang kira-kira 8% kepada keuntungan bersih kumpulan.

"Selain itu, nilai andaian kemenangan kerja bagi FY27–FY28 turut dinaikkan daripada RM500 juta kepada RM600 juta, disokong pengembangan pelanggan pusat data, kerja-kerja berkaitan RE serta permintaan lebih tinggi bagi pencawang di bawah pelaksanaan Grid Tenaga ASEAN (APG)," katanya dalam satu nota kajian.

Firma penyelidikan itu berkata, antara inisiatif hijau utama yang diumumkan menerusi Belanjawan 2026 termasuk insentif cukai pelaburan untuk aset hijau, penegasan semula matlamat Rangka Kerja Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta tumpuan kepada pembangunan infrastruktur tenaga rentas sempadan di bawah APG.

Program tenaga hijau seperti Solar Berskala Besar 6 (LSS6), Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS), perluasan kuota Tarif Galakan (FiT) dan Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat Malaysia (CRESS) turut dijangka memperkukuh aliran tender MN merentasi sektor utiliti, komersial dan industri.

“MN berada dalam kedudukan strategik untuk memanfaatkan lonjakan perbelanjaan kerajaan dan swasta dalam sektor tenaga, disokong kekuatan buku tempahan serta barisan tender yang kukuh,” katanya.

Maybank IB mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM2.27 sesaham. - DagangNews.com

standard