Peruntukan RM15 bilion bagi STR, SARA menerusi Belanjawan 2026 pacu kuasa beli rakyat - Maybank IB

LocalBusiness & Finance
13 Oct 2025 • 11:06 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Peruntukan RM15 bilion bagi STR, SARA menerusi Belanjawan 2026 pacu kuasa beli rakyat - Maybank IB

image is not available

13/10/2025 - 11:06

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Okt - Belanjawan 2026 diramal memberi manfaat kepada sektor pengguna berikutan peningkatan ketara dalam peruntukan bantuan tunai rakyat, khususnya bagi kumpulan berpendapatan rendah (B40), kata Maybank Investment Bank.

Menerusi belanjawan itu, kerajaan memperuntukkan RM15 bilion bagi program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), peningkatan daripada RM13 bilion pada 2025.

Katanya, langkah itu menegaskan komitmen kerajaan dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat serta mengekang tekanan kos sara hidup yang masih tinggi.

"Peningkatan bantuan tunai ini akan menyokong pendapatan boleh guna isi rumah, sekali gus merangsang perbelanjaan pengguna dalam ekonomi domestik, terutama menjelang sambutan perayaan utama pada suku pertama 2026," katanya dalam satu nota kajian.

Antara inisiatif yang diumumkan menerusi Belanjawan 2026 termasuk satu lagi bantuan tunai RM100 SARA akan disalurkan pada pertengahan Februari 2026 kepada semua rakyat Malaysia yang layak berumur 18 tahun ke atas selain duti eksais ke atas semua minuman beralkohol akan dinaikkan sebanyak 10%, berkuat kuasa 1 November 2025.

Pada masa sama, kenaikan duti eksais ke atas produk tembakau akan dikenakan pada kadar 2 sen/batang untuk rokok, RM40/kg untuk cerut, cheroots dan cigarillo dan RM20/kg untuk produk tembakau yang dipanaskan yang juga berkuat kuasa 1 November 2025.

Bantuan kewangan khas sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam gred 56 dan ke bawah termasuk pelantikan kontrak.

Firma penyelidikan itu berkata, dalam konteks sektor pengguna, peningkatan pendapatan isi rumah itu bakal memberi manfaat langsung kepada pengeluar makanan dan minuman (F&B) seperti Nestle (M) Berhad, Fraser & Neave Holdings Berhad dan QL Resources Berhad, yang kebanyakan produknya termasuk dalam kategori makanan asas diluluskan di bawah program SARA.

Sementara itu, peruncit barangan harian berharga rendah seperti Ecoshop dan 99 Speed Mart dijangka turut menikmati limpahan manfaat melalui peningkatan trafik pelanggan dan pembelian barangan asas di kedai berharga mampu milik.

Maybank IB menjangkakan sentimen pengguna kekal positif sepanjang 2026 disokong pelarasan gaji penjawat awam fasa kedua sebanyak 7% pada Januari 2026, pengekalan subsidi bersasar bagi barangan keperluan asas seperti ayam, telur dan bahan api, serta pengukuhan nilai ringgit yang meningkatkan kuasa beli isi rumah. - DagangNews.com

featured standard