MN Holdings raih kontrak kejuruteraan pencawang RM23.8 juta di Johor daripada TNB

LocalBusiness & Finance
8 Sep 2023 • 9:47 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MN Holdings raih kontrak kejuruteraan pencawang RM23.8 juta di Johor daripada TNB

diyana

08/09/2023 - 09:47

KUALA LUMPUR 8 Sept - Pakar utiliti bawah tanah dan kejuruteraan pencawang, MN Holdings Bhd telah memperoleh kontrak kejuruteraan pencawang RM23.8 juta daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MN Holdings berkata anak syarikatnya MN Power Transmission Sdn Bhd (MN Power) telah menerima kontrak berkenaan daripada TNB untuk menubuhkan pencawang masuk utama (PMU) baharu 132 kilovolt (kV) Stesen Suis Bekok (Alat Suis Bertebat Udara) di Johor.

“Di bawah kontrak kejuruteraan pencawang, MN Power akan membekal, membina, menguji dan mentauliahkan Stesen Pensuisan PMU Bekok 132 kV, termasuk kerja-kerja pencawang hujung jauh, lengkap dengan kerja-kerja asas, menengah dan semua kerja awam yang berkaitan,” katanya.

Menurut MN Holdings, kontrak terbabit dijangka siap dalam tempoh 540 hari dari tarikh bermula pada 4 September 2023.

MN Power dikehendaki memberikan jaminan prestasi untuk kontrak sebanyak RM1.19 juta atau 5% daripada jumlah kontrak yang diterima dalam tempoh 56 hari dari tarikh permulaan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif MN Holdings, Datuk Dang Siong Diang berkata kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan pendapatan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 (FY24) dan FY25, serta pendapatan masa depan dan aset bersih sesaham semasa tempoh kontrak.

“Kontrak itu dijangka mengukuhkan dan menambah kepercayaan kepada rekod prestasi syarikat dalam industri utiliti bawah tanah dan kejuruteraan pencawang. Kami akan terus memanfaatkan kecekapan teras kami untuk membida lebih banyak kontrak,” kata Dang.

Pada pukul 9:41 pagi ini, saham MN Holdings tidak berubah pada 31.5 sen, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM128.8 juta. - DagangNews.com