MobilityOne peroleh lesen bank digital Islam daripada Labuan FSA

Business & FinanceDigital
2 Apr 2026 • 2:15 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MobilityOne peroleh lesen bank digital Islam daripada Labuan FSA image is not available liza02/04/2026 - 14:15 Datuk Hussian A. Rahman Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 2 April – MobilityOne Sdn Bhd melakar satu lagi pencapaian penting apabila memperoleh lesen bank digital Islam patuh Syariah daripada Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) pada Disember 2025.

 

Perkembangan itu adalah peralihan strategik syarikat daripada penyedia perkhidmatan fintech kepada institusi perbankan digital sepenuhnya yang dikawal selia.

 

Kumpulan itu kini dalam proses memuktamadkan keperluan pengawalseliaan sebelum melancarkan operasi bank digitalnya yang dikenali sebagai MBO Bank (Labuan) Limited pada suku ketiga tahun ini.

 

Langkah tersebut meletakkan MobilityOne di barisan hadapan dalam landskap kewangan digital Islam yang semakin berkembang pesat di peringkat global.

 

Sebelum ini, syarikat mempunyai asas kukuh dalam perkhidmatan e-wang, pembayaran kepada peniaga, kiriman wang, gerbang pembayaran serta infrastruktur perkhidmatan kewangan.

 

Dengan status sebagai ahli SWIFT, MobilityOne kini memperluaskan keupayaannya ke dalam sektor perbankan yang dikawal selia, sekali gus membuka peluang baharu dalam penawaran produk kewangan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Datuk Hussian A. Rahman berkata, pencapaian itu merupakan detik penting dalam evolusi syarikat untuk menjadi bank digital Islam sepenuhnya.

 

“Peralihan ini membolehkan MobilityOne menawarkan perkhidmatan yang lebih menyeluruh kepada komuniti Islam global secara berskala besar,” katanya.

 

image is not available

 

MBO Bank (Labuan) akan menyediakan perkhidmatan perbankan digital tanpa sempadan, termasuk pembukaan akaun secara dalam talian melalui platform mudah alih yang mematuhi piawaian eKYC berlandaskan Syariah.

 

Antara produk utama yang bakal diperkenalkan ialah dana simpanan Ummah yang direka khusus bagi membantu umat Islam merancang dan membiayai perjalanan Umrah dan Haji dengan lebih sistematik.

 

Dalam masa sama, bank itu turut merancang pelancaran platform Haji global yang disifatkan sebagai ekosistem digital patuh Syariah pertama seumpamanya.

 

Platform tersebut akan merangkumi akaun simpanan digital, transaksi pelbagai mata wang, sijil simpanan berasaskan token serta kemudahan kecairan rentas sempadan bagi memudahkan pembayaran berkaitan ibadah berkenaan.

 

Inisiatif ini selaras dengan aspirasi Labuan International Business and Financial Centre untuk menjadi hab kecairan dan penyelesaian kewangan Islam terkemuka di peringkat antarabangsa.

 

Melalui usaha ini, MobilityOne berhasrat mengukuhkan peranan Labuan sebagai pusat kewangan Islam global, di samping menyokong aliran modal patuh Syariah serta memudahkan transaksi rentas sempadan bagi ekonomi haji dan umrah yang semakin berkembang. - DagangNews.com

Terkini standard