Model Ikonik Toyota GR Celica Dalam Masa Terdekat Dengan Enjin Tengah?

Cars
12 Feb 2025 • 8:15 AM MYT
Carz Automedia
Carz Automedia

Latest automotive news & review in one place.

image is not available

image is not available

Toyota sebelum ini telah mengesahkan bahawa model ikonik Celica bakal membuat kemunculan semula dan dijangka dijual bersama GR86 generasi baharu dalam masa terdekat. Namun, perkembangan terkini menunjukkan bahawa ia mungkin akan tiba lebih awal daripada jangkaan apabila fail permohonan cap dagang untuk nama ‘GR Celica’ telah dikesan di Brazil baru-baru ini.

Permohonan Cap Dagang di Brazil

Permohonan cap dagang tersebut telah dikemukakan kepada Institut Harta Industri Nasional dan Kementerian Ekonomi Brazil pada 15 Januari dan didedahkan kepada umum pada 4 Februari, lapor portal automotif CarScoops.

image is not availableimage is not available

Bagaimanapun, permohonan ini hanya melibatkan nama ‘GR Celica’ tanpa sebarang lakaran atau imej rasmi model tersebut.

Kehadiran cap dagang ini di Brazil memberi bayangan bahawa GR Celica mungkin akan dipasarkan di peringkat global, tidak hanya terhad kepada pasaran Jepun dan Amerika Utara seperti model terdahulu. Namun, ketersediaannya masih bergantung kepada strategi Toyota dan pematuhan terhadap piawaian emisi yang semakin ketat di sesetengah negara.

Trenkuasa Masih Menjadi Tanda Tanya

image is not availableimage is not availableimage is not availableimage is not available

Berdasarkan spekulasi sebelum ini, GR Celica dikatakan bakal dikuasakan oleh enjin baharu Toyota, iaitu unit 2.0L empat silinder yang mampu menghasilkan kuasa mencecah 400 hp. Enjin ini turut dipamerkan di acara Tokyo Auto Salon baru-baru ini menerusi model konsep GR Yaris M yang menampilkan enjin di bahagian tengah.

Sekiranya spekulasi ini benar, ia akan menjadi satu perubahan besar bagi Celica kerana model-model sebelumnya menggunakan konfigurasi enjin hadapan.

Selain itu, terdapat juga kemungkinan besar GR Celica akan menggunakan sistem pacuan semua roda (AWD), GR-Four, seperti model-model GR lain memandangkan Celica banyak digunakan dalam sukan rali sebelum ini.

Bila GR Celica Akan Dilancarkan?

image is not availableimage is not available

Setakat ini, Toyota masih belum mengumumkan tarikh pelancaran rasmi GR Celica. Namun, banyak pihak menjangkakan model ini akan diperkenalkan bersama barisan GR baharu seperti GR86 generasi seterusnya dan mungkin pengganti kepada MR2.