MoF akui pengecualian unit amanah jejas unjuran awal RM800 juta hasil cukai keuntungan modal
herman
21/03/2024 - 13:35
KUALA LUMPUR 21 Mac - Pelaksanaan cukai keuntungan modal (CGT) bermula tahun ini dijangka menambahkan hasil kepada kerajaan sebanyak RM800 juta setahun.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, bagaimanapun unjuran awal itu dijangka terjejas susulan pengecualian yang diberikan ke atas unit amanah.
Katanya, CGT juga dikecualikan ke atas keuntungan pelupusan aset modal asing yang diremitkan ke Malaysia.
"Sudah pasti pengecualaian ini memberi kesan kepada pengurangan unjuran hasil yang bakal diperoleh daripada pelaksanaan CGT," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Fadhli (PN-Pasir Mas) berhubung unjuran pengurangan hasil CGT setelah pengecualian ke atas unit amanah.
Sementara itu, Hui Ying berkata, walaupun hasil diunjur berkurangan, namun kerajaan berpandangan pengecualaian CGT ke atas unit amanah akan membantu melonjakkan lagi prestasi pasaran modal.
"(Pengecualaian) ini juga akan memberi manfaat sepenuhnya kepada lebih 90% pelabur individu yang membuat pelaburan dalam industri tersebut.
"Pengecualaian ini juga bertujuan memastikan unit amanah kekal sebagai pilihan pelaburan yang menarik dan boleh diakses oleh rakyat.
"Selain itu, ia turut memberi manfaat menerusi pulangan yang lebih kepada pelabur individu yang kebanyakannya golongan yang dalam fasa pra persaraan atau hampir memasuki pra persaraan," jelasnya.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada pertengahan Januari lalu memaklumkan kerajaan bersetuju untuk mengecualikan CGT dan cukai ke atas pendapatan luar negara (FSI) untuk unit amanah.
Beliau berkata pengecualian ke atas CGT berkuat kuasa 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2028 manakala pengecualian ke atas FSI mulai 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2026.- DagangNews.com

