MOF teliti keputusan mahkamah sebelum putuskan bayaran balik duti eksais vape RM377 juta

LocalPolitics
18 Nov 2026 • 9:50 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MOF teliti keputusan mahkamah sebelum putuskan bayaran balik duti eksais vape RM377 juta Image from: MOF teliti keputusan mahkamah sebelum putuskan bayaran balik duti eksais vape RM377 juta amree18/11/2026 - 09:50 Gambar hiasan Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Nov — Sebanyak RM377.08 juta hasil kutipan duti eksais produk vape bernikotin yang dikumpulkan sejak Mei 2023 dijangka menjadi isu baharu kepada kerajaan susulan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung pengecualian cecair nikotin daripada Senarai Racun.

 

Kementerian Kewangan (MOF) berkata, kerajaan sedang menjalankan penelitian secara menyeluruh terhadap implikasi perundangan keputusan mahkamah tersebut sebelum menentukan sama ada kutipan berkenaan perlu dipulangkan kepada pemain industri vape.

 

Di samping itu, kementerian tersebut memaklumkan keutamaan pada ketika ini adalah menilai segala keputusan mahkamah serta mengenal pasti tindakan susulan yang perlu diambil dalam masa terdekat.

 

"Pihak MOF turut mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai hala tuju masa depan produk vape bagi membantu kajian percukaian selanjutnya," katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen pada Selasa.

 

Ia menjawab pertanyaan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) mengenai jumlah kutipan duti eksais sejak 2023 serta kemungkinan bayaran balik kepada pemain industri susulan keputusan mahkamah berkenaan.

 

Ujarnya, berdasarkan kepada rekod Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), sebanyak RM377.08 juta duti eksais daripada produk vape bernikotin, termasuk cecair dan gel, sudah dikutip setakat ini.

 

vape_DagangNews2026
Gambar hiasan

 

Pada masa yang sama, MOF turut menjelaskan bahawa keseluruhan keseluruhan hasil kutipan berkenaan telah pun disalurkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan.

 

Duti eksais terhadap produk cecair dan gel vape bernikotin mula berkuat kuasa pada Mei 2023 selepas kerajaan mengeluarkan cecair nikotin daripada Senarai Racun di bawah Akta Racun 1952 pada Mac tahun sama.

 

Langkah itu bertujuan membawa industri vape ke dalam kerangka percukaian negara, namun keputusan berkenaan mencetuskan kontroversi berhubung aspek kawal selia dan kesihatan awam.

 

Pada Mei 2026, Mahkamah Tinggi memutuskan tindakan kerajaan mengeluarkan cecair vape bernikotin daripada Senarai Racun dilaksanakan secara tidak rasional dan tanpa rundingan sewajarnya.

 

Keputusan kerajaan berhubung implikasi penghakiman itu kini menjadi perhatian industri memandangkan ia membabitkan kutipan hasil RM377.08 juta, selain berpotensi mempengaruhi hala tuju dasar percukaian dan kawal selia produk vape negara. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved