amree18/11/2026 - 18:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Nov — Denda terhadap Spanco Sdn Bhd berhubung kelewatan penghantaran kenderaan rasmi kerajaan dikurangkan kepada RM5.3 juta, jauh lebih rendah berbanding anggaran awal RM54.51 juta yang dikenal pasti oleh Ketua Audit Negara.
Pengurangan itu dibuat selepas Kementerian Kewangan (MOF) menilai semula isu kelewatan dengan dikecualikan tempoh yang didapati bukan berpunca daripada syarikat konsesi berkenaan, menurut laporan susulan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Setiausaha Bahagian Pengurusan Aset Awam MOF, Datuk Alan Abdul Rahim berkata, selepas penelitian dan usaha wajar baharu serta perbincangan lanjut, Jawatankuasa Penalti bersetuju mengenakan denda hanya bagi kelewatan yang berpunca secara langsung daripada Spanco.
Penalti berkenaan jelas beliau, namun tidak meliputi isu kelewatan yang melibatkan masalah di pihak kerajaan, gangguan rantaian bekalan, pembuatan atau pemasangan aksesori, di samping penghantaran kenderaan tersebut ke Sabah dan Sarawak.
"Notis penalti sudah diserahkan, dengan bayaran pertama telah pun dibuat dan tuntutan tersebut dijangka dapat diselesaikan sepenuhnya menjelang akhir tahun ini," kata beliau dalam laporan PC tersebut yang turut dibentangkan di Parlimen pada Rabu.
Artikel berkaitan: PAC gesa monopoli konsesi pembekalan kenderaan kerajaan dipecahkan kepada syarikat lain mengikut kategori

Alan turut memaklumkan kepada PAC pada 7 Oktober 2026 bahawa penalti sebanyak RM5.3 juta itu hanya melibatkan kira-kira 1,000 kenderaan daripada jumlah keseluruhan 6,000 kenderaan armada kerajaan yang dinilai sendiri oleh Ketua Audit Negara.
Jumlah penalti terkini itu juga lebih rendah berbanding penilaian semula RM18.7 juta didedahkan dalam laporan PAC pada 9 Julai 2026. Laporan itu mengenal pasti kelemahan pentadbiran kerajaan serta kejadian luar jangka sebagai antara faktor kelewatan penghantaran.
Dalam perkembangan berkaitan, MOF turut melanjutkan tempoh penghantaran kenderaan kepada 150 hari bekerja berbanding 60 hari sebelum ini bagi mengambil kira keupayaan industri automotif serta masa diperlukan untuk pemeriksaan, pendaftaran, pemasangan peralatan khusus.
"Pekeliling Perbendaharaan yang disemak itu berkuat kuasa pada 1 Jun 2026. MOF kini melaksanakan pemantauan bagi memastikan kementerian dan jabatan berkaitan mematuhi tempoh ditetapkan untuk urusan penggantian kenderaan, permohonan baharu serta perkara berkaitan," kata Alan.
Spanco sebelum ini memegang konsesi pengurusan armada kenderaan kerajaan selama 25 tahun dari 1994 hingga 2019. Selepas tamat, Cekap Urus Sdn Bhd diterajui Berjaya Corporation Berhad memperoleh kontrak menerusi tender terbuka, namun pelantikannya ditamatkan pada 2020.

Sehubungan itu, Spanco menandatangani perjanjian baharu pada 31 Januari 2022 bagi tempoh 15 tahun dari Julai 2022 hingga Julai 2037. Isu pengurusan armada kerajaan itu disiasat PAC selepas Ketua Audit Negara membangkitkan kelemahan pengurusan kenderaan Persekutuan.
PAC mendapati kelewatan penggantian kira-kira 5,323 kenderaan menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung perbelanjaan tidak perlu yang berjumlah RM28.79 juta, termasuk bayaran sewaan berterusan dan kos penyelenggaraan lebih tinggi bagi kenderaan lama.
Bagaimanapun, PAC turut mendapati sebahagian kelewatan tersebut berpunca daripada isu kelemahan pentadbiran kerajaan, termasuk perubahan varian kenderaan dan keperluan pendaftaran serta kejadian luar jangka seperti insiden kebakaran kapal kargo.
Dalam laporan terbaharu, PAC menegaskan kerajaan perlu memuktamadkan perjanjian tambahan dengan Spanco bagi menangani kos penggunaan kenderaan selepas tamat tempoh pajakan, meskipun ia secara umum berpuas hati dengan maklum balas MOF terhadap syor terdahulu. - DagangNews.com




