Mohamed Salah Pemain Terbaik PFA buat kali ketiga

FootballSports
20 Aug 2025 • 10:05 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Salah menjadi pemain pertama memenangi anugerah Pemain Terbaik PFA sebanyak tiga kali. Foto: Agensi

MOHAMED Salah sekali lagi mencipta sejarah apabila dinobat sebagai Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Pemain Profesional (PFA) 2025, menjadikannya pemain pertama memenangi anugerah berprestij itu sebanyak tiga kali.

Bintang Mesir berusia 33 tahun itu melalui musim cemerlang bersama Liverpool, menjaringkan 29 gol untuk membantu kelabnya merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2024/25, selain memenangi Kasut Emas buat kali keempat.

Lebih manis, Salah turut merekodkan 18 bantuan gol, angka tertinggi dalam kariernya yang hanya pernah dilebihi oleh Kevin De Bruyne dan Thierry Henry.

Salah mengetepikan saingan rakan sepasukan Alexis Mac Allister, Bruno Fernandes (Manchester United), Alexander Isak (Newcastle), Cole Palmer (Chelsea) dan Declan Rice (Arsenal).

Trofi disampaikan legenda Liverpool, Ian Rush.

“Ia satu perasaan luar biasa. Saya teringat kembali ketika gagal menyerlah di Chelsea 10 tahun lalu. Dari seorang anak muda Mesir kini berjaya di peringkat tertinggi dan mencipta sejarah, ia amat bermakna,” katanya.

Selain Salah, Morgan Rogers (Aston Villa) diumum Pemain Muda Tahunan selepas meledak 14 gol dan 13 bantuan jaringan musim lalu.

 

 

Dalam kategori wanita, Mariona Caldentey (Arsenal) dipilih Pemain Terbaik Wanita, manakala rakan sepasukannya Olivia Smith menerima anugerah Pemain Muda Wanita.

Majlis yang berlangsung di Manchester itu turut menyaksikan pengiktirafan kepada pemain Liga Bola Sepak Inggeris (EFL) dengan James Trafford (Manchester City/Burnley) diumum Pemain Terbaik Liga Kejuaraan.

Bekas pengurus England, Sir Gareth Southgate pula menerima Anugerah PFA Order of Merit 2025 atas sumbangan besar beliau dalam bola sepak.

Salah yang hadir bergaya dengan sut hitam dan tali leher emas, melengkapkan malam penuh bersejarah apabila turut disenaraikan dalam Pasukan Terbaik Liga Perdana bersama Virgil van Dijk, Ryan Gravenberch dan Mac Allister.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved