
Mohd Kurniawan Naim angkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat selepas menang PRK Kinabatangan, ganti ayahandanya Allahyarham Bung Moktar Radin.
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kinabatangan baharu, Mohd Kurniawan Naim Moktar, mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.
Majlis angkat sumpah itu berlangsung di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul sebelum sesi Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri.
Beliau mengangkat sumpah selepas memenangi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kinabatangan pada Sabtu lepas dengan majoriti besar 14,214 undi.
Mohd Kurniawan Naim menewaskan Datuk Saddi Abdul Rahman daripada Warisan yang memperoleh 5,638 undi.
Calon Bebas Goldam Hamid mendapat 946 undi dalam persaingan tiga penjuru itu.
PRK Kinabatangan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember tahun lepas.
Bung Moktar yang berusia 66 tahun merupakan bapa kepada Mohd Kurniawan Naim.
Johari dalam ucapan pemasyuran berharap Mohd Kurniawan Naim dapat memberi khidmat terbaik buat penduduk di kawasannya.
Beliau juga berharap ahli baharu itu memainkan peranan berkesan di Dewan Rakyat buat kebaikan rakyat dan negara.
“Saya berharap Yang Berhormat dapat meneruskan legasi dan jasa Allahyarham ayahanda dengan beri sumbangan yang bermakna,” katanya.
Johari menambah, “Semoga berkhidmat dengan cemerlang dan dedikasi.”
Mohd Kurniawan Naim turut mengajukan soalan pertamanya di Dewan Rakyat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Soalan itu diajukan pada sesi Waktu-Waktu Pertanyaan Menteri mengenai potensi kemasukan pelaburan ke kawasan luar bandar.
Beliau bertanya khusus mengenai potensi pelaburan di Parlimen Kinabatangan.
