Mohd Na'im: Syor buka rumah pelacuran untuk warga asing tidak boleh diterima

9 Jan 2024 • 7:17 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

PUTRAJAYA: Syor untuk membuka rumah pelacuran kepada warga asing sebagai langkah mengurangkan kes rogol dalam negara ini seperti yang diutarakan seorang pelakon tanah air baru-baru ini tidak boleh diterima sama sekali, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar (gambar).

Beliau berkata cadangan itu bertentangan dengan peruntukan undang-undang sivil dan syariah, bahkan secara jelas bertentangan dengan prinsip-prinsip ajaran Islam dan Maqasid alSyariah.

Menurutnya di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559] terdapat beberapa peruntukan yang berkaitan dengan kesalahan pelacuran, antaranya Subseksyen 21 iaitu pelacuran; Seksyen 22 iaitu muncikari (seseorang yang bertindak sebagai orang tengah antara seorang perempuan dengan seorang lelaki bagi apa-apa maksud yang menyalahi hukum syarak); dan Seksyen 23 iaitu persetubuhan luar nikah.

Di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 pula memperuntukkan kesalahan kepada mana-mana orang yang menganjurkan, mendorong atau menggalakkan orang lain untuk melakukan apa-apa maksiat sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 35 Akta 559.

“Sewajarnya (syor) ditolak segenap lapisan masyarakat,“ kata Mohd Na’im dalam kenyataan hari ini.

Pelakon terkenal tanah air Datuk Rosyam Nor menerusi audio siar (podcast) Hitam Putih Kehidupan yang dimuat naik ke TikTok Suhan Channel berkata pusat pelacuran perlu ada untuk 'kemudahan' warga asing lelaki yang kebanyakannya meninggalkan isteri di negara mereka.

Mohd Na'im berkata cadangan itu telah mengundang polemik dan kontroversi dalam masyarakat memandangkan pelacuran merupakan aktiviti yang tidak dibenarkan menurut undang-undang di Malaysia.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan polemik mahupun isu yang bertentangan dengan ajaran Islam,“ katanya. -Bernama