
Isu banjir yang kerap berlaku sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas di sekitar Shah Alam mendorong seorang penduduk merayu perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar masalah berkenaan diberikan penyelesaian jangka panjang.
Rayuan itu dikongsikan seorang pengguna Threads yang menggunakan nama itsaqazthetic menerusi satu hantaran yang turut menyentuh keadaan trafik di beberapa kawasan sekitar bandar berkenaan.
Menurutnya, kawasan seperti TTDI Jaya, Seksyen 13, Bukit Jelutong dan lokasi berhampiran berdepan masalah banjir serta kesesakan teruk.
Malah, katanya, masih ramai penduduk yang belum tiba di rumah meskipun sudah pulang dari tempat kerja.
“YAB @anwaribrahim_my mohon perhatian isu banjir dan kesesakan teruk di sekitar TTDI Jaya, Seksyen 13, Bukit Jelutong dan kawasan berdekatan.
“Sehingga kini masih ramai rakyat Malaysia yang belum sampai ke rumah selepas pulang bekerja,” tulisnya.
Mengulas lanjut, individu itu mendakwa keadaan berkenaan menyebabkan tempoh perjalanan pulang dari tempat kerja menjadi jauh lebih lama berbanding jarak sebenar.
Katanya, ada pengguna jalan raya yang hanya perlu menempuh perjalanan sejauh tiga kilometer, namun terpaksa menghabiskan masa sehingga dua jam akibat kesesakan.
Keadaan itu turut menimbulkan kesulitan kepada ibu bapa yang mempunyai anak kecil di rumah atau perlu mengambil anak dari taska.
“Kesian mereka yang ada anak kecil menunggu di rumah atau perlu mengambil anak di taska. Mohon isu ini diberi perhatian dan penyelesaian jangka panjang. Terima kasih,” rayunya.
Baca juga:Hantaran tersebut mengetengahkan kesukaran yang didakwa dihadapi penduduk setempat ketika berdepan masalah banjir dan kesesakan, khususnya ketika waktu pulang bekerja.





![[VIDEO] 92 rumah terjejas, tiga mangsa dipindahkan di Kampung Melayu Subang](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/WhatsApp-Image-2026-11-02-at-20.09.35-e1793621656322.jpeg)
