
Berkat kejayaan anak pastinya dengan doa ibu! Selagi ibu hidup, selagi itulah doa mengalir.
Momen hiba disaksikan lebih 3,500 tetamu pada pertunjukan fesyen Neonate x SVG apabila pempengaruh Ashraf Anuar menyorong kerusi roda ibunya ke tengah-tengah pentas peragaan baru-baru ini.
Dalam suasana yang penuh sayu itu, ibu Ashraf gagal menahan air mata sebaik melihat kejayaan anaknya itu. Malah, Ashraf turut membawa ibunya yang berkerusi rosa mengelilingi ‘runway’ terpanjang yang dianggarkan 800 meter.
Suasana menjadi penuh gamat dengan sorakan peminat fesyen jenama itu yang kagum dengan kehebatan Ashraf selain dilihat sentiasa mengutamakan keluarga.
Ashraf, 23, yang juga pengasas SVG menzahirkan ucapan penghargaan buat keluarga terutama ibunya sempena kejayaan yang diraih saban hari.
"Kesemua ahli keluarga saya juga hadir terutama ibu tercinta walaupun dalam keadaan kurang sihat. Beliau tetap gagahkan diri untuk hadir ke pertunjukan fesyen anaknya.
"Terima kasih kerana mendidik Ashraf Anuar sehingga ke hari ini ibu. Ini semua untuk ibu semoga acara ni juga menjadi penguat semangat untuk ibu sihat seperti sediakala," katanya.

