
Rasuah: SPRM tahan 6 individu termasuk jurutera awam, tiga pemilik syarikat
Monopoli Projek Kerajaan Sejak 2006, Enam Individu Di Sarawak Ditahan SPRM. Sarawak kembali menjadi tumpuan apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan enam individu termasuk seorang jurutera awam dan tiga pemilik syarikat kerana dipercayai terlibat dalam skandal rasuah.
Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia antara 40 hingga 70 tahun itu ditahan di pelbagai lokasi sekitar Sarawak dalam satu operasi khas yang berlangsung antara pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari semalam.

Monopoli Projek Sejak 2006?
Siasatan awal mendedahkan bahawa sindiket ini sudah aktif sejak 2006. Mereka dikatakan telah memonopoli semua projek yang diberikan oleh dua jabatan kerajaan di dua daerah di Sarawak.
Modus operandi mereka cukup licik – kontraktor yang terlibat didakwa membenarkan lesen mereka digunakan sebagai ‘proxy’ untuk mendapatkan projek. Sebagai balasan, mereka menerima komisen sehingga 10% daripada nilai projek tersebut.
Lebih mengejutkan, seorang jurutera awam yang bertugas di jabatan berkaitan turut menerima bayaran bagi memastikan projek-projek tersebut berpihak kepada sindiket ini.
Kereta Mewah, Wang Tunai & Barang Kemas Disita
Dalam operasi ini, SPRM turut menyita sebuah Proton X70, wang tunai berjumlah kira-kira RM450,000 dan barang kemas yang dipercayai hasil daripada aktiviti haram ini.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, mengesahkan penahanan ini dan menyatakan kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Beliau turut memaklumkan bahawa kesemua suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Miri, Sibu dan Kuching, hari ini untuk permohonan reman.
Apa seterusnya? Adakah lebih ramai individu akan dipanggil untuk siasatan? Kita nantikan perkembangan lanjut dari SPRM.
Baca juga artikel yang pernah kami terbitkan mengenai kes rasuah yang berlaku di Sarawak:

![[VIDEO] Dua pengarah direman lima hari bantu siasatan kes tajaan RM2,000](https://cdn.newswav.com/img/topic/politics.jpeg)
