Monorel Putrajaya tidak berdaya maju untuk diteruskan - MOT

28 Jul 2026 • 4:38 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Monorel Putrajaya tidak berdaya maju untuk diteruskan - MOT
Projek monorel Putrajaya yang terbengkalai sejak 2004 didapati tidak berdaya maju untuk diteruskan berdasarkan keadaan infrastruktur rel sedia ada, termasuk terowong bawah tanah yang telah lama terbiar.

KUALA LUMPUR - Projek monorel Putrajaya yang terbengkalai sejak 2004 didapati tidak berdaya maju untuk diteruskan berdasarkan keadaan infrastruktur rel sedia ada, termasuk terowong bawah tanah yang telah lama terbiar.

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Selasa memaklumkan dapatan itu diperoleh menerusi Kajian Pengangkutan Awam di Putrajaya, Cyberjaya, Bangi dan Kajang yang turut menilai kebolehlaksanaan sistem monorel berkenaan.

"Ia memerlukan kajian lanjutan terperinci seperti ujian integriti struktur untuk mengenal pasti keadaan sebenar struktur yang sudah lama terbengkalai,” menurut MOT.

Perkara itu bagi menjawab soalan Senator Datuk Prof Emeritus Dr Mohammad Redzuan Othman yang ingin tahu sama ada kementerian mempunyai perancangan untuk meneruskan semula projek monorel Putrajaya yang terbengkalai dengan memperluas rangkaiannya bagi menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya.

Sebagai alternatif, kementerian itu memaklumkan perkhidmatan Bas Nadi Putra kini melibatkan tujuh laluan dengan 26 bas dan merekodkan purata 2,246 penumpang pada hari bekerja.

Perkhidmatan bas perantara pula merangkumi dua laluan dengan lapan bas dan purata 1,173 penumpang, manakala 'Rapid On-Demand' melibatkan tiga laluan dengan sembilan van serta purata 315 penumpang pada hari bekerja.

"Penyediaan perkhidmatan-perkhidmatan ini bertujuan meningkatkan aksesibiliti dan ketersambungan pengangkutan awam di Putrajaya melalui penyelesaian mobiliti yang lebih fleksibel dan menyeluruh,” menurut kementerian itu. - Bernama

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved