Pelajar asrama perlu lebih perhatian, KPM teliti tambah pembantu warden & guru kaunseling

LocalPolitics
21 Nov 2026 • 8:31 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti keperluan menambah bilangan pembantu warden serta guru bimbingan dan kaunseling di sekolah berasrama bagi memastikan kebajikan serta keselamatan pelajar terus terpelihara.

Langkah pastikan setiap pelajar dapat perhatian sewajarnya

Menerusi kenyataan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek di Facebook, beliau menyatakan langkah itu penting bagi memastikan setiap pelajar mendapat perhatian sewajarnya, khususnya membabitkan aspek emosi dan penyesuaian diri sepanjang menjalani kehidupan di asrama.

Menurutnya, perkara berkenaan antara yang dibincangkan ketika pertemuan bersama pihak polis di Kuala Kangsar pada Sabtu susulan kejadian seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di daerah itu ditemukan meninggal dunia pada Rabu.

Tumpu aspek keselamatan, SOP serta pengurusan asrama

Beliau berkata, perbincangan turut memberi tumpuan kepada aspek keselamatan pelajar, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta pengurusan asrama bagi memastikan persekitaran pembelajaran lebih selamat.

“Saya mahu ibu bapa tahu bahawa kita berkongsi harapan yang sama. Kita mahu anak-anak berjaya, tetapi lebih daripada itu, kita mahu mereka membesar dengan selamat dan bahagia,” katanya.

Dalam pada itu, Fadhlina turut mengingatkan ibu bapa supaya mempertimbangkan kesediaan anak-anak sebelum membuat keputusan menghantar mereka ke sekolah berasrama kerana setiap individu mempunyai tahap penyesuaian serta kemampuan emosi yang berbeza.

Ujarnya, terdapat pelajar yang mudah menyesuaikan diri apabila berjauhan daripada keluarga, manakala sebahagian lagi memerlukan masa lebih panjang serta sokongan tambahan untuk melalui perubahan tersebut.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa agar sentiasa menyediakan ruang kepada anak-anak untuk berkongsi cerita dan meluahkan perasaan tanpa bimbang dihakimi.

“Jangan terlalu risau jika anak kita tidak masuk ke sekolah impian. Setiap anak mempunyai jalan dan waktunya sendiri untuk berjaya.
“Yang paling penting, di mana pun mereka belajar, biarlah mereka tahu bahawa kasih sayang dan penerimaan kita tidak pernah bergantung pada nama sekolah atau keputusan peperiksaan mereka,” katanya.

Image from: Pelajar asrama perlu lebih perhatian, KPM teliti tambah pembantu warden & guru kaunseling

Sumber: Facebook Fadhlina Sidek

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved