Mosar selamatkan pendaki warga emas cedera

2 Sep 2022 • 3:57 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

RANAU: Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (Mosar) bertindak pantas untuk menyelamatkan seorang pendaki yang terjatuh dan tercedera mukanya di sini, pada Rabu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, kejadian berlaku di Kilometer 6.0 denai mendaki Gunung Kinabalu, kira-kira jam 10 pagi.

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika pendaki lelaki tempatan berusia 60 tahun itu sedang menuruni gunung.

“Kami menerima panggilan kira-kira 10.05 daripada malim gunung, dan menggerakkan pasukan Mosar yang terdiri daripada lima anggota diketuai PBB Alex Clarence Clederryn Mohirin ke tempat kejadian. Turut terlibat ialah dua renjer Taman-Taman Sabah dan seorang malim gunung.

“Ketika pasukan kami tiba di lokasi yang terletak satu kilometer dari pos Mosar, mereka mendapati seorang pendaki telah terjatuh dan cedera di muka, dan memberi rawatan awal kepada mangsa.

“Selepas itu mangsa dibawa turun ke Pintu Timpohon Gate di mana dia kemudiannya berjalan kaki sendiri untuk mendapatkan rawatan. Operasi tamat pada 11.30 pagi,” katanya.

Sementara itu, Ridwan berkata, kejadian itu merupakan kes kelima bagi Ogos tahun ini dan ia juga merupakan mangsa cedera ke-46 di Gunung Kinabalu setakat tahun ini.

Pada Januari lapan pendaki mengalami pelbagai jenis kecederaan semasa mendaki Gunung Kinabalu, pada Februari (9), Mac (4), April (5), Mei (4), Jun (3) Julai (8) dan pada Ogos, lima kes telah direkodkan.

Ridwan mengulangi gesaannya kepada bakal pendaki agar melakukan penilaian kesihatan diri sebelum mendaki Gunung Kinabalu kerana ia bukan sesuatu yang mudah.

Beliau berkata perlu ada persiapan mental dan fizikal sebelum membuat keputusan untuk mendaki, dan hanya membawa barang yang sesuai dan perlu dalam perjalanan mereka.

Beliau turut menasihatkan pendaki ke Gunung Kinabalu supaya lebih berhati-hati dalam keadaan semasa yang tidak menentu kerana permukaan tanah dan batuan lebih licin berbanding ketika cuaca biasa.

“Sentiasa mendaki dalam kumpulan, jangan berjalan sendirian dan pastikan anda memberi perhatian kepada nasihat pemandu kami. Ini amat penting bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini pada masa hadapan.

“Bagi mereka yang dalam rawatan atau perlu memakan ubat, pastikan anda membawa bersama semua peralatan atau ubat-ubatan yag dipreskripsikan oleh doktor semasa mendaki,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.