MOT galak e-hailing perluas ‘car pool’, kurangkan kos minyak

LocalBusiness & Finance
9 Apr 2026 • 1:18 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan (MOT) menggesa syarikat e-hailing memperluas konsep “car pool” sebagai langkah segera membantu pengguna berdepan kos bahan api yang semakin meningkat.

Menterinya, Anthony Loke berkata pendekatan itu membolehkan penumpang berkongsi perjalanan dengan lebih efisien dan tambang lebih berpatutan. “Ini sesuatu yang boleh dilaksanakan dengan kadar segera kerana sebelum ini memang telah ada pembuktian konsep (PoC) yang dijalankan dengan beberapa syarikat e-hailing. Jadi, ini merupakan contoh yang kita harap dapat memberikan satu teladan kepada semua pihak dan agensi bahawa dalam menghadapi krisis kita mesti mengambil satu langkah yang proaktif,” katanya pada Perhimpunan Bulanan MOT di sini hari ini.

Beliau menekankan dasar dan peraturan mesti sentiasa disesuaikan agar lebih peka terhadap keadaan semasa tanpa menjejaskan aspek keselamatan serta pematuhan undang-undang.

Menyentuh kesan konflik Asia Barat, Loke menjelaskan penutupan ruang udara di zon bergolak memaksa syarikat penerbangan mengubah laluan ke destinasi Eropah. “Perubahan ini bukan sahaja menjejaskan jadual operasi malah membawa implikasi kos yang ketara. Penggantungan sementara laluan tertentu serta pembatalan beberapa penerbangan harian ke Asia Barat pada peringkat awal krisis turut menyebabkan kerugian besar kepada industri penerbangan,” katanya.

Dalam sektor maritim, ketegangan di laluan strategik seperti Selat Hormuz, Terusan Suez dan Laut Merah memaksa kapal dagang beralih ke laluan alternatif melalui Tanjung Harapan, Afrika.

Bagaimanapun, Loke menegaskan kerajaan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang meneliti kesan krisis tenaga global secara menyeluruh, khususnya dari sudut jaminan bekalan dan kestabilan ekonomi. - 9 April, 2026

The post MOT galak e-hailing perluas ‘car pool’, kurangkan kos minyak appeared first on Scoop.